Jualan eksport Kawan Food dijangka lebih kukuh, kata CGS-CIMB Research | DagangNews Skip to main content

Jualan eksport Kawan Food dijangka lebih kukuh, kata CGS-CIMB Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Ogos - CGS-CIMB Research menjangkan Kawan Food Berhad mengekalkan momentum jualan eksport yang lebih kukuh pada masa akan datang didorong permintaan tinggi daripada pelanggan.

 

Memasuki 2HFY22, firma itu berkata, jualan eksport kumpulan itu akan terus meningkat kesan daripada permintaan stabil daripada pelanggan sedia ada yang berhasrat menambah stok mereka selepas gangguan rantaian bekalan global semakin berkurangan.

 

Katanya, tempahan itu diyakini kekal stabil dalam tempoh enam ke sembilan bulan akan datang.

 

"Sebagai tambahan, kumpulan itu berjaya mendapatkan pelanggan baharu (diyakini peruncit Amerika Syarikat (AS) berskala besar) dengan mereka menyasarkan penghantaran pertama pada 3QFY22 (selepas penghantaran pada 2QFY22 ditunda).

 

"Kami juga menjangkakan kumpulan itu akan mendapat manfaat daripada kelemahan ringgit berbanding dolar AS (peningkatan daya saing untuk pasaran eksport)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih Kawan Food melonjak 72.63% pada suku kedua berakhir 30 June 2022 kepada RM10.84 juta berbanding RM6.28 juta bagi suku sama tahun lalu didorong oleh peningkatan jualan domestik dan pasaran eksport.

 

Hasil suku tahun meningkat 46.04% kepada RM80.37 juta daripada RM55.03 juta dipacu pemulihan penghantaran untuk jualan eksportnya.

 

Firma itu berkata, walaupun kos input yang lebih tinggi pada 1HFY22 namun harga bahan mentah utama iaitu minyak sawit mentah (MSM) merekodkan penurunan tetapi harga bahan lain seperti marjerin, lemak dan tepung kekal tinggi kerana gangguan rantaian bekalan.

 

Katanya, selepas mengambil kira sentimen pasaran yang lemah akibat inflasi, kumpulan itu tidak mempunyai kelebihan untuk menaikkan harga jualan selepas terpaksa melakukannya pada 1HFY22.

 

"Kumpulan itu juga menjangkakan isu kekurangan tenaga pekerja akan bertambah baik kerana sejak pertenghan Ogos 2022, mereka berjaya membawa masuk 37 pekerja baharu dan lagi 80 pekerja akan tiba pada Oktober 2022.

 

"Secara keseluruhan, kumpulan itu sudah menerima kelulusan untuk membawa masuk 400 pekerja asing baharu," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM2.68 sesaham. - DagangNews.com