Jualan Family Mart diunjur merosot 10% pada 4QFY24 kesan tindakan boikot | DagangNews Skip to main content

Jualan Family Mart diunjur merosot 10% pada 4QFY24 kesan tindakan boikot

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 April - Jualan bagi segmen kedai serbaneka Family Mart milik QL Resources Bhd diunjur merosot sebanyak 10% pada 4QFY24 kesan daripada tindakan boikot baru-baru ini.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, jumlah pelanggan juga mencatatkan penurunan akibat kedatangan bulan Ramadan.

 

Bagaimanapun, keadaan itu tidak menjejaskan perancangan kumpulan untuk membuka antara 60 hingga 80 cawangan baharu setahun dengan mereka sasaran 396 kedai menjelang akhir tahun ini.

 

"Kumpulan itu menyasarkan pembukaan kedai baharu di walayah utara dan pantai timur dengan sasaran 600 kedai menjelang FY27. 

 

"Sejumlah 4% cawangan Family Mart terletak di 'Negeri Hijau' yang mana peruncit lain sudah mengalami tekanan boikot," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Family Mart diboikot selepas dikatakan bekerjasama dengan rejim zionis berkaitan konflik yang berlaku antara Palestin-Israel.

 

Ekoran itu, pemegang saham terbesar FamilyMart Co Ltd, Itochu Corporation menamatkan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat pertahanan Israel, Elbit Systems.

 

FamilyMart Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa syarikat berkenaan tidak menyokong sebarang keganasan atau menyumbang kepada Israel.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek segmen pembuatan produk makanan laut (MPM) kumpulan itu dilihat positif.

 

Katanya, kilang pemprosesan surimi baharu di Indonesia sedang menjalani percubaan pada masa ini dan akan mula menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bermulan FY25 dan seterusnya.

 

"Bagaimanapun, dalam jangka pendek, purata harga jualan (ASP) surimi mungkin terjejas kerana tangkapan ikan yang lebih rendah dan tekanan harga yang berterusan daripada persaingan global yang semakin meningkat.

 

"Sementara itu, margin penternakan bersepadu (ILF) perlu dikekalkan dengan subsidi telur yang berterusan di Malaysia dan pengurangan kos bahan mentah makanan untuk menampung ketidaktentuan dalam ASP telur di Vietnam dan Indonesia," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' untuk QL Resources dengan harga sasaran (TP) RM6.80 sesaham.- DagangNews.com