Jualan kereta lebih tinggi lonjak prestasi 2H20 MBM Resources  | DagangNews Skip to main content

Jualan kereta lebih tinggi lonjak prestasi 2H20 MBM Resources 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Prestasi operasi syarikat pengendali automotif, MBM Resources Berhad pada Julai hingga Disember 2020 dijangka mengukuh, didorong oleh peningkatan jualan kenderaan. 

MBM Resources memiliki 22.6% pemegangan saham Perodua dan JV-Autoliv Hirotako.

Berdasarkan data Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan kenderaan Perodua mulai meningkat sejak Jun (21,300 unit) dan merekodkan jumlah lebih tinggi pada Julai sebanyak 23,200 unit.

“Kami menjangkakan separuh kedua tahun 2020 yang lebih kukuh didorong oleh penjualan kenderaan yang lebih tinggi selepas pelaksanaan pengecualian cukai sebanyak 10% sehingga 20 Disember. 

“Tahun kewangan 2020 pada kadar biasa dan tumpuan adalah pada tahun kewangan 2021,” jelas analisis Maybank Investment Bank Research (Maybank IB).

Perodua baru-baru ini mengumumkan pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak miliknya, segmen D55L B yang dinanti-nantikan ditangguhkan pada awal 2021.

Sementara itu, MBM mencatatkan kerugian bersihnya sebanyak RM5 juta pada suku kedua 2020 sekali gus mendorong penurunan sebanyak 77% dalam perolehan separuh pertama 2020 kepada RM22 juta.

“Operasi (jualan dan pengeluaran) terjejas selama satu bulan setengah pada tempoh berkenaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jualan kenderaan Perodua and JV-Autoliv Hirotako juga lebih rendah iaitu masing-masing -48% dan -42%.

“MBM Resouces turut mengumumkan dividen sesaham yang lebih rendah pada suku berkenaan iaitu 5 sen berbanding 6 sen bagi tempoh sama tahun lalu,” tambah Maybank IB. - DagangNews.com