Jualan peralatan semikonduktor global mencecah rekod RM478.7 bilion tahun ini | DagangNews Skip to main content

Jualan peralatan semikonduktor global mencecah rekod RM478.7 bilion tahun ini


KUALA LUMPUR 14 Dis - Industri Pengilang Peralatan Semikonduktor (SEMI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat mengunjurkan jumlah keseluruhan jualan global peralatan pembuatan semikonduktor mencecah paras tertinggi baharu iaitu AS$108.5 bilion (RM478.73 bilion) pada 2022.

 

Unjuran itu adalah 5.9% lebih tinggi daripada rekod industri sebelum ini sebanyak AS$102.5 bilion (RM452.26 bilion) pada 2021 dan rekod itu mengatasi rekod pendapatan selama tiga tahun berturut-turut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden SEMI, Ajit Manocha berkata, jumlah pasaran peralatan pembuatan semikonduktor global dijangka menguncup kepada AS$91.2 bilion (RM402.40 bilion) tahun depan sebelum kembali meningkat pada 2024.

 

"Rekod pembinaan fab telah memacu jumlah jualan peralatan pembuatan semikonduktor mencecah paras AS$100 bilion (RM441.23 bilion) untuk tahun kedua berturut-turut.

 

"Aplikasi baharu muncul dalam pelbagai pasaran telah menetapkan jangkaan untuk pertumbuhan industri semikonduktor yang ketara pada dekad ini, yang memerlukan pelaburan lanjut untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor The Star.

 

SEMI berkata, segmen peralatan fab wafer, yang merangkumi pemprosesan wafer, kemudahan fab, dan peralatan topeng/reticle, diunjurkan berkembang 8.3% kepada rekod industri baharu sebanyak AS$94.8 bilion (RM418.29 juta) pada 2022 diikuti penguncupan 16.8% kepada AS$78.8 bilion (RM347.69 bilion) pada 2023 sebelum meningkat semula 17.2% kepada AS$92.4 bilion (RM407.70 bilion) pada 2024.

 

Jualan peralatan dalam segmen faundri dan logik, mencakupi lebih separuh daripada jumlah penerimaan peralatan fab wafer, dijangka meningkat 16% tahun ke tahun kepada AS$53 bilion (RM233.85 bilion) pada 2022.

 

Pelaburan faundri dan logik diunjurkan berkurangan pada 2023, membawa kepada penurunan jualan sebanyak 9% yang dijangka merentas segmen.

 

Memandangkan permintaan perusahaan dan pengguna untuk memori dan storan semakin lemah, jualan peralatan DRAM dijangka jatuh 10% kepada AS$14.3 bilion (RM63.10 bilion) pada 2022 dan 25% kepada AS$10.8 bilion (RM47.65 bilion) pada 2023, manakala jualan peralatan NAND dijangka turun 4% kepada AS$19 bilion (RM83.83 bilion) pada 2022 dan 36% kepada AS$12.2 bilion (RM53.83 bilion) pada 2023.

 

Selepas mencatatkan pertumbuhan kukuh 30% pada 2021, jualan pasaran peralatan ujian semikonduktor diramalkan turun 2.6% kepada AS$7.6 bilion (RM33.53 bilion) pada 2022 dan 7.3% kepada AS$7.1 bilion (RM31.33 bilion) pada 2023.

 

Berikutan lonjakan 87% pada 2021, jualan peralatan pemasangan dan pembungkusan diunjurkan menurun sebanyak 14.9% kepada AS$6.1 bilion (RM26.92 bilion) pada 2022 dan 13.3% kepada AS$5.3 bilion (RM23.39 bilion) pada 2023. - DagangNews.com