Jualan sektor pembuatan Disember 2020 melonjak 4.5% | DagangNews Skip to main content

Jualan sektor pembuatan Disember 2020 melonjak 4.5%

Sektor pembuatan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Nilai jualan sektor pembuatan negara bagi Disember 2020 meningkat 4.5% kepada RM124.6 bilion berbanding tahun sebelumnya.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, nilai jualan pada Disember itu adalah pertumbuhan tertinggi sejak Mac 2020.

 

"Peningkatan yang direkodkan bagi nilai jualan pada bulan Disember 2020 adalah didorong oleh peningkatan  dalam  Produk  Kelengkapan  Pengangkutan  &  Pembuatan  Lain  (20.5%),  Produk  Makanan,  Minuman  & Tembakau  (7.9%) dan Produk Elektrik & Elektronik (4.2%). Sementara itu, berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan naik 3.9%.

 

"Jumlah pekerja sektor Pembuatan pada bulan Disember 2020 adalah seramai 2,199,195 orang, berkurang 2.0% berbanding 2,243,788 orang pada Disember 2019. 

 

"Gaji & upah yang dibayar adalah berjumlah RM7,770.7 juta, merosot 0.8% atau RM59.7 juta pada Disember 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya," jelas beliau dalam laporan Perangkaan Pembuatan Bulanan Malaysia bagi Disember 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

Nilai jualan per pekerja meningkat 6.7% kepada RM56,644 berbanding bulan yang sama tahun 2019. 

 

Sementara itu, purata gaji & upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,533 pada bulan Disember 2020.

 

Tambah beliau, pada suku tahun keempat 2020, nilai jualan sektor pembuatan meningkat 3.0% kepada RM366.4 bilion berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan tersebut didorong oleh kenaikan dalam Produk Kelengkapan Pengangkutan & Pembuatan Lain (15.0%), Produk Makanan, Minuman & Tembakau (9.0%) dan Produk Peralatan Elektrik & Elektronik (4.3%). 

 

Bilangan pekerja dan gaji & upah masing-masing menyusut 2.0% dan 1.2% pada suku tahun keempat 2020.

 

"Ringkasan bagi tahun 2020, nilai jualan sektor Pembuatan bagi tahun 2020 merekodkan penurunan 2.1% kepada RM1,346.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019. 

 

"Bilangan pekerja pada tempoh tersebut berkurang 2.0% kepada 2,199,195 orang manakala gaji & upah dibayar mencatatkan penurunan 1.1% kepada RM87.2 bilion. 

 

"Nilai jualan per pekerja pada tempoh rujukan menyusut sebanyak 0.2% kepada RM612,324," katanya lagi. - DagangNews.com