KUALA LUMPUR 21 Jan - Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura kembali dibuka dengan pengurangan 50% kapasiti pengangkutan berkuat kuasa hari ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, mereka yang sudah membuat pembelian tiket untuk perjalanan selepas 20 Januari 2022 sebelum pengumuman penggantungan jualan tiket dibuat adalah dibenarkan untuk meneruskan perjalanan mengikut kuota yang ditetapkan sebelum ini.
"Garis masa berhubung peningkatan kuota jualan tiket akan bergantung kepada penilaian risiko dilakukan dari semasa ke semasa dan secara berterusan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan situasi COVID-19 di kedua-dua negara.
"Pengembara menggunakan platform VTL Malaysia-Singapura adalah diingatkan mengenai keperluan untuk melaksanakan Ujian RTK-Ag atau Ujian Pantas Antigen (kendiri) pada hari kedua, keempat dan keenam selepas ketibaan, selain Ujian RTK-Ag atau Ujian Pantas Antigen (profesional) pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan.
"Ia selaras pengumuman KKM sebelum ini berhubung tindakan pengukuhan kepada langkah pencegahan dan kawalan sedia ada bagi pengembara dari luar negara, termasuk pengembara yang tiba di pintu masuk antarabangsa Malaysia melalui inisiatif VTL," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, kedua-dua inisiatif VTL antara Malaysia-Singapura (darat dan udara), digantung sementara berkuat kuasa 23 Disember 2021 hingga 20 Januari 2022 akibat penularan varian Omicron di negara jiran itu.
Sementara itu, Khairy menyarankan semua pengembara supaya bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Lakukan ujian pengesanan COVID-19 mengikut ketetapan bagi mengetahui status risiko diri dan mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain.
"Ia juga bagi memastikan perjalanan rentas sempadan membabitkan skim VTL Malaysia-Singapura ini dapat terus dilaksanakan dengan selamat," katanya. - DagangNews.com