Julie Ng diumum sebagai CEO baharu RAM Ratings mulai 1 April 2024 | DagangNews Skip to main content

Julie Ng diumum sebagai CEO baharu RAM Ratings mulai 1 April 2024

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 1 April - RAM Ratings Services Bhd melantik Julie Ng sebagai CEO baharu firma penarafan itu, menggantikan Awang Za'aba Awang Mahmud, berkuat kuasa hari ini.

 

Dalam satu kenyataan, RAM berkata Ng ialah bekas timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya dan ketua analisis data dengan lebih 30 tahun pengalaman dalam pengurusan risiko, penarafan kredit, analisis kewangan dan pengurusan projek.

 

"Julie telah menunjukkan kepimpinan yang luar biasa dalam memacu inisiatif perniagaan strategik, menerajui penyelidikan, dan memupuk inovasi dan pembangunan produk dalam domain risiko dan kemampanan, menjadikannya pemimpin yang kukuh untuk mengemudi aspirasi semasa dan usaha masa depan RAM Ratings," katanya.

 

Sementara itu, ketua pegawai penarafan Ram Ratings, Siew Suet Ming telah dilantik sebagai timbalan CEO sebagai tambahan kepada peranannya sekarang.

 

 

Siew Suet Ming
                         Siew Suet Ming

 

 

Pengerusi Datuk Kamaruddin Taib berkata RAM Ratings akan terus meningkatkan ekuiti jenamanya, memacu pertumbuhan perniagaan, dan mencapai objektif strategiknya di bawah kepimpinan baharu.

 

"Peralihan pada RAM Ratings ini menekankan komitmen tidak berbelah bahagi RAM Group terhadap kecemerlangan, integriti dan kemampanan, ketika ia memulakan perjalanan inovasi dan ketangkasan untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan yang muncul sambil mengekalkan kekuatan teras perniagaannya," katanya. - DagangNews.com