Jumlah penumpang penerbangan 2020 dijangka susut kepada 26.6 juta | DagangNews Skip to main content

Jumlah penumpang penerbangan 2020 dijangka susut kepada 26.6 juta

empat duduk perkhidmatan penerbangan penumpang

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Jumlah tempat duduk perkhidmatan penerbangan penumpang dijangka berkurangan kepada 26.6 juta hingga 29.7 juta bagi tahun 2020 berbanding 109.2 juta penumpang pada 2019.

 

Jumlah tersebut menurun sebanyak -72.8% hingga -75.6%.

 

Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah berkata, jumlah itu adalah berdasarkan kepada semakan semula unjuran senario trafik penumpang Malaysia 2020 oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

 

Hasbi Habibollah
Hasbi Habibollah

 

"Statistik menunjukkan trend penurunan permintaan penumpang domestik dan antarabangsa mulai 1 Mac 2020. Jumlah permintaan penumpang berkurangan daripada 280,321 sehari pada bulan Januari 2020 kepada 59,378 sehari pada bulan September 2020.

 

"Berdasarkan semakan semula unjuran senario trafik penumpang Malaysia 2020, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menjangkakan jumlah tempat duduk perkhidmatan penerbangan penumpang akan berkurangan kepada 26.6 juta – 29.7 juta bersamaan -72.8% hingga -75.6% pada tahun 2020 (berbanding 2019–109.2 juta penumpang).

 

"Dalam hubungan ini, syarikat penerbangan dijangka memerlukan tempoh masa 3 tahun untuk pulih sepenuhnya dari impak wabak COVID19, tertakluk kepada situasi semasa penularan wabak tersebut di dalam dan luar negara,"  katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) dalam pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

 

Mahdzir meminta beliau menyatakan mekanisme yang dirangka oleh pihak kementerian bagi membantu serta memulihkan semula industri penerbangan tambang murah yang turut membantu meningkatkan perkembangan ekonomi negara.

 

Mengulas berkaitan dengan mekanisme untuk memulihkan semula industri penerbangan, beliau memberitahu, kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi pada Februari 2020 telah bersetuju antara lain supaya Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) mengurangkan caj pendaratan dan parkir pesawat melalui mekanisme kontra.

 

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid 

 

Dalam pada itu, lebih banyak kelonggaran telah diberikan oleh pihak kerajaan termasuk kebenaran untuk melakukan perjalanan rentas negeri dan pengecualian penjarakan fizikal dalam pesawat bagi semua perkhidmatan penerbangan berjadual dan tidak berjadual semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020.

 

Tambah beliau, Kementerian Pengangkutan mengalu-alukan usaha kerajaan dalam melaksanakan konsep travel bubble ke beberapa negara seperti Singapura, Brunei, Thailand, Vietnam, New Zealand, Australia, Korea Selatan dan Jepun.

 

"Melalui konsep tersebut, penerbangan dan penumpang dari mana-mana negara yang berada dalam kategori hijau akan dibenarkan memasuki Malaysia tertakluk kepada SOP tertentu.

 

"Dalam hubungan ini, cadangan travel bubble tersebut adalah tertakluk kepada rundingan yang sedang diadakan di antara Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Luar Negeri dengan negara-negara terbabit," ujar beliau lagi. - DagangNews.com