Jurang ekonomi masih ketara antara negeri dan wilayah - KRI | DagangNews Skip to main content

Jurang ekonomi masih ketara antara negeri dan wilayah - KRI

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 3 Nov. - Tahap pencapaian dalam kalangan tenaga buruh adalah tidak sekata disebabkan struktur ekonomi yang berbeza walaupun prestasi pasaran buruh bertambah baik saban tahun. 

Khazanah Research Institute (KRI) dalam laporan yang dikeluarkan hari ini, Work in an Evolving Malaysia: The State of Households 2020 Part II melihat trend jangka panjang pasaran buruh bagi tempoh 3 dekad lalu melalui dimensi geografi di peringkat negeri-negeri di Malaysia.

Berdasarkan laporan itu, jurang ekonomi masih ketara antara negeri dan wilayah meskipun peratusan pekerjaan dalam sektor pertanian menurun daripada 31.2% daripada jumlah pekerja pada 1982 kepada 10.2% pada 2019. 

Sektor tersebut kekal sebagai sumber pekerjaan penting di kawasan utara dan pantai timur semenanjung serta di Sabah dan Sarawak.

"Pekerjaan dalam sektor pertanian adalah 26% daripada jumlah pekerja di Sabah dan 20.8% di Pahang pada 2019, lebih tinggi berbanding purata nasional," kata laporan itu. 

Laporan Khazanah Research Institute - Work in an Evolving Malaysia: The State of Households 2020 Part II
Laporan Khazanah Research Institute - Work in an Evolving Malaysia: The State of Households 2020 Part II

 

Untuk sektor pembuatan pula, peratusan pekerjaan meningkat di seluruh Malaysia pada awal tahun 1990-an, dengan mencatat peratusan tertinggi 23.5% daripada jumlah pekerja pada 2000 di peringkat nasional tetapi ia menyusut kepada 17.8% pada 2019. 

Ini seiring dengan peralihan aktiviti ekonomi kepada sektor perkhidmatan di semua negeri dan wilayah, walaupun negeri seperti Pulau Pinang dan Johor masih mencatatkan peratusan pekerjaan pembuatan yang lebih tinggi, masing-masing pada tahap 37.1% dan 25% pada 2019.

Hasil daripada perubahan struktur ekonomi, pekerjaan mahir lebih tertumpu di negeri-negeri maju. Dalam tempoh dua dekad yang lalu, pekerja mahir telah berkembang di negeri-negeri Kumpulan A iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor dan B (Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Terengganu) masing-masing 4.9 dan 4%. 

Pekerja berkemahiran rendah berkembang di negeri-negeri Kumpulan C (Labuan, Sabah dan Sarawak) dan D (Kedah, Kelantan, Pahang, Perak dan Perlis) masing-masing 11.3% dan 1.5%.

Pekerjaan separuh mahir pula secara umumnya telah menguncup. Memandangkan pekerjaan mahir lebih banyak di Kumpulan A dan B, pekerja berpendidikan tinggi juga lebih tertumpu di kawasan ini.

"Bagaimanapun, kira-kira separuh daripada pekerjaan, kebanyakannya separuh mahir, berisiko tinggi untuk diautomasi, dan COVID-19 mungkin mempercepatkan proses automasi. Pekerja jualan, yang mewakili peratusan pekerja tertinggi, berisiko tinggi untuk diautomasi. 

"Sebaliknya, profesion perguruan dan kesihatan dijangka kurang terjejas. Di samping itu, COVID-19 berupaya
mempercepatkan risiko automasi untuk beberapa jenis pekerjaan yang tidak dapat dilaksanakan dari rumah, terutama sewaktu pandemik ini," katanya. 

Dari segi penyertaan tenaga buruh wanita pula, menurut laporan itu, ia melonjak 11.1% daripada 44.5% kepada 55.6% antara 1982 dan 2019, manakala kenaikan keseluruhan lebih sederhana pada 3.9%.

"Sepanjang satu dekad lalu, kumpulan A mencatat peningkatan tenaga buruh wanita tertinggi dengan 18% daripada 49.7% kepada 67.7%, sementara negeri lain berkembang kurang daripada 10% iaitu daripada 45.4% kepada 51.3%.

"Aturan kerja yang fleksibel, sokongan tugas penjagaan, penggalakkan penglibatan aktif bapa dalam penjagaan anak dan penyingkiran polisi yang boleh menyekat peluang wanita untuk menyertai tenaga buruh, dapat meningkatkan lagi tenaga buruh wanita terutama di negeri-negeri dengan penyertaan wanita yang lebih rendah," katanya. - DagangNews.com