KAB jalin kerjasama dengan LCS Holdings bangunkan ladang solar 20MWp di Filipina | DagangNews Skip to main content

KAB jalin kerjasama dengan LCS Holdings bangunkan ladang solar 20MWp di Filipina

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jan - Kinergy Advancement Berhad (KAB) menerusi KAB Energy Holdings Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama dengan LCS Holdings Inc. bagi bersama-sama membangunkan projek ladang solar 20MWp (megawatt puncak) di Santa Ilocos Sur, Filipina.



Kumpulan itu berkata, projek ladang solar itu berpotensi untuk dikembangkan kapasitinya sehingga 100Mwp dan tenaganya akan dieksport ke pembekal elektrik runcit atau pasaran tempat elektrik borong di Filipina.

 

Katanya, projek itu dijangka mempunyai jangka hayat selama 25 tahun yang akan memberikan pendapatan berulang yang stabil bagi jangka panjang untuk KAB.

Timbalan Pengerusi Eksekutif yang juga Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, kerjasama dengan LCS itu adalah asas dalam strategi kumpulan bagi meluaskan inisiatif tenaga boleh diperbaharui (RE) dan berkembang ke luar Malaysia dan memasuki pasaran Asia Tenggara.

 

Beliau berkata, kerjasama ini bukan sekadar usaha perniagaan tetapi ia adalah usaha membentuk masa depan yang lebih mampan.

 

"Kami akan menggabungkan kepakaran teknikal kami dalam segmen RE dan kelebihan LCS terhadap pasaran domestik di negara itu sebagai penanda aras industri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Jalinan kerjasama itu meningkatkan lagi portfolio RE KAB merangkumi pelbagai aset solar, hidro serta biogas dan ia menjangkau keseluruhan pasaran Malaysia, Thailand, Indonesia dan kini Filipina.

 

Pengerusi LCS Holdings yang juga bekas Gabenor Ilocos Sur, Luis Crisologo 'Chavit' Singson berkata, loji solar 100 MWp bukan sekadar pencapaian tetapi ia juga menandakan dedikasi kami untuk memanfaatkan temaga semula jadi bagi memenuhi keperluan tenaga harian tanpa menjejaskan keperluan generasi akan datang.

 

"Usaha ini bukan sahaja membolehkan kami menyahut seruan global bagi mengurangkan pelepasan karbon di seluruh dunia tetapi juga memupuk pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat," katanya. - DagangNews.com