KUALA LUMPUR 14 Dis - Fasa 1 Serenia Aqila di perbandaran Serenia City di Sepang memperoleh kadar pengambilan 90%, dengan Fasa 2 kini dibuka untuk tempahan.
Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM136 juta, Serenia Aqila menawarkan 72 unit rumah berkembar, dengan saiz lot 40 x 80 kaki dan binaan seluas 3,030 kaki persegi dengan harga bermula RM1,712,888 setiap satu yang dijangka siap pada 2024.
Dalam usaha untuk menggabungkan alam semula jadi dan kemewahan, Serenia Aqila merupakan rumah berkembar pegangan bebas pertama di perbandaran yang terletak berhampiran dengan Taman Serenity seluas 3.4 hektar yang menempatkan tiga pokok berusia 120 tahun.
Ketua Pegawai Operasi Pemabngunan Bandar Sime Darby Property Berhad, Appollo Leong berkata, Serenia Aqila diterima baik oleh pembeli rumah selepas pelancaran dan menandakan pengiktirafan terhadap keseimbangan kemewahan dalam alam semula jadinya.
Katanya, sebagai pemaju utama perbandaran dan komuniti yang dipacu kemampanan, kami akan terus menyampaikan produk yang sesuai dengan permintaan pasaran.
“Matlamat kami dengan Serenia Aqila adalah untuk memberikan pembeli rumah kami rasa ketenangan yang selesa untuk seluruh keluarga di dalam kawasan perlindungan peribadi mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Setiap unit dilengkapi dengan ruang taman, jendela langit dan tingkap besar untuk pengudaraan semula jadi yang mencukupi serta ciri mesra warga emas di bilik tidur di tingkat bawah.
Bahagian luarnya menawarkan peruntukan untuk taman herba, kawasan basuh luar yang khusus serta anjung tiga kereta dan suite taman.
Setiap rumah Serenia Aqila dilengkapi dengan titik pengasing pengecas kenderaan elektrik, poket hijau dalaman, titik sambungan saluran solar dan tangki penuaian air hujan. Ia merangkumi ciri-ciri lain termasuk kotak peghantaran dan titik penapis air.
Dilancarkan pada 2018, Serenia City ialah pembangunan pegangan bebas seluas 1,104 hektar dengan taman pusat seluas 12.9 hektar yang menampilkan padang bola sepak yang disahkan FIFA, amfiteater penuaian air hujan dan mercu tanda menarik lain, termasuk arca kinetik terbesar negara seperti yang disenaraikan di Malaysia Book of Records. - DagangNews.com