Kadar pengangguran Julai 2020 turun kepada 4.7% | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran Julai 2020 turun kepada 4.7%

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Selepas mencatatkan kadar tertinggi pada Mei lalu sebanyak 5.3%, kadar pengangguran negara kini menurun untuk dua bulan berturut-turut kepada 4.7% pada Julai 2020.

Keadaan pasaran buruh yang semakin baik ini disokong oleh aktiviti ekonomi yang kian pulih.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata, bilangan penganggur pada Julai 2020 adalah seramai 745,100 orang, berkurang sebanyak 28,200 orang berbanding Jun 2020. 

“Peningkatan yang ketara itu dapat dilihat sebahagian besarnya dalam sektor perkhidmatan termasuk penginapan, aktiviti makanan dan minuman; kesenian, hiburan dan rekreasi; pengangkutan; dan aktiviti berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi seperti e-dagang dan e-hailing.

“Pemulihan pasaran buruh dan aktiviti ekonomi ini adalah selaras dengan keputusan kerajaan untuk membuka semula ekonomi secara beransur-ansur sejak Mei 2020 lalu, membolehkan lebih banyak perniagaan beroperasi dan kini hampir semua aktiviti ekonomi telah dibuka semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Sebelum ini, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) yang merangkumi tiga sektor utama iaitu perlombongan, pembuatan dan elektrik mencatat pertumbuhan positif pada kadar 2.1% bulan Julai 2020 berbanding dengan Julai 2019 setelah mengalami penguncupan bagi empat bulan berturut-turut sejak bulan Mac.

Tambah Mustapa, walaupun pasaran buruh semakin pulih seperti yang disasarkan, kerajaan sedar dan prihatin bahawa bilangan penganggur sebanyak 745,100 orang masih lebih tinggi berbanding purata seramai 494,000 orang bagi tempoh 2016 hingga 2019. 

“Tambahan pula, masih terdapat 104,300 orang (908,900 orang pada bulan Jun 2020) yang tidak bekerja buat sementara waktu seperti mereka yang diberhentikan kerja sementara. Golongan ini tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka masih mempunyai pekerjaan dan akan kembali bekerja. 

“Justeru, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepat pemulihan ekonomi negara supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan dan lebih ramai penggangur dapat kembali bekerja supaya negara berada dalam keadaan guna tenaga penuh,” jelas Mustapa.

Katanya, pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui PRE2020, PRIHATIN dan PENJANA untuk membantu rakyat dan merancakkan aktiviti ekonomi turut mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara. - DagangNews.com