KAF Equities kekal saranan 'beli' untuk Jentayu Sustainables dengan TP RM1.27 | DagangNews Skip to main content

KAF Equities kekal saranan 'beli' untuk Jentayu Sustainables dengan TP RM1.27

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Nov - KAF Equities mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Jentayu Sustainables Berhad dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.27 selepas Telekosang Hydro One (TH1) iaitu loji kuasa hidro 24MW mencapai tarikh mula operasi (IOD) pada 5 November 2022, dengan kuasa janaan pertamanya dihantar ke sistem grid kuasa Sabah

 

Firma itu berkata, TH1 dan Telekosang Hydro Two (TH2) sebuah loji kuasa hidro 16 MW berada di bawah Perjanjian pembelian tenaga (PPA) 21 tahun dengan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB).

 

Katanya, pihak pengurusan menjangkakan kelulusan untuk tarikh operasi komersial (COD) akan dicapai dalam masa tiga minggu dari IOD, yang jauh lebih pendek daripada tempoh kelulusan tiga bulan untuk projek yang sama.

 

"Menurut pihak pengurusan, operasi komersial penuh loji itu mungkin dipercepatkan oleh pihak berkuasa berikutan penutupan loji kuasa hidro Tenom Pangi (75MW), yang rosak akibat aliran serpihan batuan dan kayu berikutan hujan lebat berterusan minggu lepas.

 

"Loji Tenom Pangi tidak dapat menampung aliran serpihan yang tidak dijangka kerana hujan lebat.

 

"Penutupan berterusan boleh menjejaskan keseluruhan bekalan elektrik pada sistem grid Sabah dan permulaan TH1 adalah penting untuk meminimumkan gangguan bekalan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, COD TH2 dijangka menjelang akhir tahun. Pentauliahan kedua-dua loji kuasa hidro akan membuka jalan kepada penyiapan pengambilalihan kumpulan yang membawa kepada keuntungan bagi 1HCY23.

 

Katanya, Jentayu Sustainables telah menandatangani perjanjian dengan Jentayu Capital (pemilik TH1 dan TH2) pada Jun 2021. - DagangNews.com