Kanger tembusi pasaran pelitup muka pula  | DagangNews Skip to main content

Kanger tembusi pasaran pelitup muka pula 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Syarikat pengeluar bahan lantai buluh, Kanger International Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kanger Medical International Sdn. Bhd. (KMI) bakal mengedarkan dan menjual pelitup muka perubatan empat lapisan di bawah jenama ‘CommonMask’.

 

Segmen baharu itu dikatakan sejajar dengan aspirasi Kanger untuk mengembangkan perniagaan penjagaan kesihatan baharunya.

 

Pengarah Eksekutif Kanger, Steven Kuah Choon Ching berkata, pemakaian pelitup menjadi satu keperluan dalam kehidupan masyarakat pada masa kini.

 

“Pengguna lebih berhati-hati terhadap kualiti perlindungan mereka daripada virus COVID-19 yang mudah berjangkit dan kewujudan varian baharu yang berleluasa ketika ini. 

 

Steven Kuah Choon Ching
Steven Kuah Choon Ching

 

“Tambahan pula, aspek gaya hidup untuk pemakaian pelitup muka semakin penting, memandangkan pengguna berusaha untuk membezakan diri dengan pelitup muka yang mereka pakai,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Seiring permintaan produk tersebut, Kanger telah melancarkan rangkaian pertama pelitup muka pembedahan empat lapisan premium yang hadir menerusi empat warna.

 

Produk itu direka bentuk untuk menyediakan kecekapan penapisan sehingga 99% daripada bakteria dan zarah-zarah lain, sementara lapisan luaran hidrofobik bakal memberi perlindungan kepada pemakai daripada titisan cecair dan biofluida.

 

Menurut Kanger, pelitup muka keluarannya telah diiktiraf oleh pensijilan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), tanda Conformite Europeene (CE) dan ISO 13485: 2016.

 

Produk itu dijadualkan berada di rangkaian farmasi dan pusat beli-belah terpilih mulai penghujung September 2021. 

 

Dalam masa terdekat, Kanger juga menyasarkan untuk memulakan pengedaran produk berkaitan penjagaan kesihatan lain dalam mengembangkan aliran hasil kumpulan di bawah segmen tersebut.

 

Baru-baru ini, kumpulan telah memetarai perjanjian induk bersyarat dengan syarikat dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mengimport dan mengedarkan vaksin COVID-19 jenis Hayat-Vax. - DagangNews.com