Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 11 Mac - Pasaran saham tempatan dibuka lebih rendah pada awal dagangan pagi ini ekoran kemerosotan dalam kaunter teknologi.
Setakat 9 pagi, indeks penanda aras di Bursa Malaysia, FBM KLCI menyusut -3.10 mata daripada paras yang ditutup semalam, 1,639.83 kepada 1,636.73.
Namun, dagangan pagi ini menyaksikan sebanyak 349 kaunter untung mengatasi 95 kaunter rugi.
Antara saham-saham yang merosot termasuk Dataprep Holdings Berhad, Kuala Lumpur Kepong Berhad, Westports Holdings Berhad, Complete Logistic Services Berhad, Gamuda Berhad, Saudee Group Berhad, Meridian Berhad, KESM Industries Berhad, PJBumi Berhad dan PIE Industrial Berhad.
Dalam pada itu, Rakuten Trade Research percaya FBM KLCI akan meneruskan prestasi memberangsangkan yang telah melonjak 2.5% sejak permulaan minggu ini.
“Tanpa sebarang pengambilan untung di saham-saham sarung tangan, kami menjangkakan indeks penanda aras itu berpotensi menguji paras 1,650 disokong oleh pembelian umum.
“Sementara itu, kami mendapati saham-saham perladangan sekali lagi tidak dihiraukan oleh komuniti pelaburan ketika harga minyak sawit mentah (MSM) kekal di atas RM4,000 setiap tan metrik, seperti mana dilihat dalam prestasi indeks Perladangan yang menyusut 1.5% sejak awal tahun ini,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.
Di peringkat global, kadar hasil bon yang rendah dengan pakej rangsangan baharu mendorong kepada pembelian ekuiti Amerika Syarikat (AS) apabila Dow Jones Industrial Average ditutup pada paras tertinggi selepas melonjak lebih daripada 460 mata menghampiri paras 32,300.
Namun, Nasdaq mendatar kerana wujudnya aktiviti pengambilan untung, tambah Rakuten Trade.
Sementara itu, saham-saham Asia secara umumnya pula dibuka bercampur-campur memandangkan peralihan pelaburan ke saham-saham bernilai kembali semula, jelas Bloomberg.
Saham Jepun sedikit berubah, sementara penanda aras Australia menyusut dan Korea Selatan pula menokok. - DagangNews.com