KBS umum 5 kategori sambutan sempena Hari Belia Negara 2020 | DagangNews Skip to main content

KBS umum 5 kategori sambutan sempena Hari Belia Negara 2020

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Sambutan Hari Belia Negara 2020 kali ini bakal menggabungkan program fizikal dan maya ke dalam lima kategori. 

Lima kategori berkenaan merangkumi kepimpinan, ekonomi, sukan dan kecergasan, sosial serta pertandingan.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk M. Noor Azman Taib berkata, sebanyak 17 aktiviti sedang dan akan dianjurkan secara maya iaitu “HBN20 e-Sports Challenge” dan “Suara Lit (Kisah Belia Berjaya).

"Bagi program secara fizikal akan berlangsung bersempena Sambutan Hari Belia Negara di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru pada 15 Ogos dan terbahagi kepada dua acara utama iaitu Konvensyen Belia dan Anugerah Perdana Belia Negara.

 

KSU KBS
Datuk M. Noor Azman Taib

 

"Sejurus selesai sambutan Hari Belia Negara 2020, akan disusuli sambutan Hari Belia di peringkat negeri," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini. 

Tambahnya, KBS sentiasa komited untuk memperkasa agenda pembangungan belia dan menghargai peranan serta sumbangan belia kepada negara

Hari Belia Negara disambut pada 15 Mei setiap tahun bagi memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada golongan belia di Malaysia.

Hari Belia Negara 2020 akan disambut pada 15 Ogos di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

‘Dekad Ini Dekad Anda' pula diangkat sebagai tema yang bersesuaian dengan peranan dan tanggungjawab belia dalam mencorak negara sehaluan visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Tema itu sejajar dengan usaha membawa semangat belia Malaysia yang teguh menghadapi cabaran bagi mencapai potensi maksimum demi melonjakkan negara.

Dalam pada itu, KBS turut mengumumkan logo rekaan pelajar Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Nur Syafiq Anuar dipilih sebagai logo rasmi Hari Belia Negara 2020.

Pemilihan dibuat berdasarkan konsep logo yang signifikan dengan bulan kemerdekaan dan bersesuai dengan tema 'Dekad Ini Dekad Anda'.

Bukan itu sahaja, KBS juga akan terus menawarkan peluang dan berusaha demi pemerkasaan belia melalui insiatif rentas Kementerian seperti Skim Perantisan Nasional, MyGIG dan penubuhan Platform Maklumat - Single Landing Page. - DagangNews.com