KDN buka tender RM64 juta bekalkan motosikal pengiring berkuasa tinggi kepada PDRM secara sewaan | DagangNews Skip to main content

KDN buka tender RM64 juta bekalkan motosikal pengiring berkuasa tinggi kepada PDRM secara sewaan

Motosikal berkuasa tinggi digunakan PDRM bagi tugasan mengiring orang kenamaan - Gambar hiasan.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 5 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menerima 146 buah motosikal berkuasa tinggi bagi kegunaan pasukan pengiring manakala 35 buah lagi untuk operasi keselamatan.

 

Tender bagi membekalkan jentera tersebut secara sewaan telah dikeluarkan oleh Bahagian Perolehan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

 

Anggaran harga bagi kedua-dua tender berjumlah RM64.074 juta.

 

Spesifikasi untuk superbike pengiring adalah jentera baharu berkuasa sekurang-kurangnya 1,200cc dan tork tidak kurang daripada 125Nm.

 

Motosikal
Sebahagian daripada motosikal Yamaha FJR1300 milik PDRM.

 

Motosikal tersebut hendaklah mempunyai palang ranap atau perlindungan sisi, dilengkapi dengan kotak sebelah kanan dan kiri, lampu keselamatan serta jentera dibekalkan dalam warna putih.

 

Tempoh pajakan selama 60 bulan dan pembida yang menang juga mesti mempunyai motosikal ganti sekiranya berlaku pembaikan atau kemalangan dalam masa 24 jam. 

 

Kontrak sewaan ini termasuklah kos cukai jalan, insurans dan penyelenggaraan superbike sepanjang tempoh pajakan selain daripada latihan superbike sebelum penghantaran.

 

Bagi motosikal untuk operasi pula, spesifikasi superbike adalah jentera baharu berkuasa sekurang-kurangnya 1,000cc dan tork tidak kurang daripada 125Nm.

 

Motosikal
Anggota tim pengiring UTK bersama motorsikal berkuasa tinggi yang digunakan.

 

Motosikal

 

Kenderaan ini juga hendaklah dipasang palang ranap atau perlindungan sisi dan lampu keselamatan.

 

Tempoh pajakan adalah 60 bulan dan pembida yang menang perlu menanggung kos latihan, cukai jalan, insurans dan penyelenggaraan sepanjang tempoh kontrak. 

 

Berdasarkan ciri-ciri pada jentera, berkemungkinan motosikal ini akan dibekalkan kepada pasukan pengiring Unit Tindakhas dan juga untuk operasi keselamatan lain.

 

Selain motosikal berkuasa tinggi, KDN turut menerbitkan tender membekalkan 11 buah bot peronda plastik bertetulang kaca bersama motor sangkut, treler dan peralatan berkaitan. 

 

Anggaran kos tender ialah RM4.6 juta.

 

Motosikal
Motosikal BMW R1250RT milik Kor Polis Tentera.

 

Konsep sewaan motosikal bagi pasukan keselamatan termasuk tentera telah dipraktikkan selama ini termasuklah bagi kenderaan operasi seperti kereta peronda.

 

Pada 2021, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM telah menerima unit motosikal berkuasa tinggi baru untuk kegunaannya.

 

Motosikal Yamaha FJR1300 ini merupakan tambahan bagi jentera peronda atau pengiring yang digunakan pasukan itu.

 

Tentera Darat pula pada 2022 menerima 40 Buah motosikal berkuasa tinggi BMW R1250RT untuk Kor Polis Tentera secara sewaan daripada syarikat Ammo Defence Sdn. Bhd.

 

Kontrak untuk tempoh lima tahun ini bagi membantu kor itu melaksanakan tugas kepolisan dengan berkesan. - DagangNews.com