KUALA LUMPUR 31 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berada pada landasan yang kukuh untuk terus berkembang antara 5.5% dan 6.5% pada 2022 dan selari dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 6.0% serta Bank Dunia pada 5.8%.
Beliau berkata, pertumbuhan itu akan dipacu terutamanya oleh Bajet 2022 yang mengembang bernilai RM332.1 bilion, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial selain penyambungan semula projek dengan kesan pengganda tinggi serta permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama juga meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
Perdana Menteri juga berkata, Malaysia berada pada landasan tepat ke arah pemulihan, berdasarkan pembukaan semula lebih daripada 90% sektor ekonomi serta kebanyakan aktiviti sosial dan disokong oleh kadar vaksinasi yang tinggi.
"Semua ini sejajar dengan hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025 melalui pelbagai inisiatif yang digariskan.
"Marilah kita sama-sama berdoa, semoga tahun ini membawa kemakmuran, kebahagiaan dan kesihatan yang baik untuk seluruh Keluarga Malaysia," katanya dalam ucapan khas bersempena sambutan Tahun Baharu Cina 2022, hari ini.
Ismail Sabri berkata, selepas dua tahun terpaksa menyambut tahun baharu dari kejauhan dan terpisah dengan keluarga, pada tahun ini masyarakat Tionghua dapat kembali meraikan Tahun Baharu Cina bersama ibu bapa dan keluarga tercinta.
Beliau berkata, peluang tersebut diharap dapat mengerat dan mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan namun masyarakat diingatkan untuk sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam memastikan semua dapat terus membendung penularan wabak COVID-19.
Perdana Menteri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh masyarakat Cina yang telah berganding bahu dengan kaum-kaum lain seperti Melayu, India, Kadazan, Dusun, Murut, Iban, Bidayuh dan Melanau sebagai sebuah Keluarga Malaysia.
"Sempena Tahun Harimau ini, diharap segala usaha kerajaan untuk memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan sehingga ke tahun-tahun seterusnya.
"Marilah kita terus bersatu hati menyokong usaha kerajaan untuk memulih dan menstrukturkan semula ekonomi negara bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya.
"Selamat Tahun Baharu Cina saya ucapkan kepada seluruh Keluarga Malaysia yang berketurunan Tionghua," katanya. - DagangNews.com