Kebakaran di Mid Valley berpunca daripada Pencawang Masuk Utama TNB, siasatan lanjut sedang dilakukan | DagangNews Skip to main content

Kebakaran di Mid Valley berpunca daripada Pencawang Masuk Utama TNB, siasatan lanjut sedang dilakukan

KUALA LUMPUR 17 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan kejadian kebakaran di Pencawang Masuk Utama (PMU) Mid Valley jam 10:27 pagi hari ini.

 

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang memadamkan kebakaran. Pasukan teknikal TNB telah pun digerakkan ke lokasi kejadian.

 

Kebakaran PMU tersebut menyebabkan gangguan bekalan kepada pengguna di kawasan terhad sekitar Mid Valley dan sebahagian Desa Pantai.

 

Punca kejadian sedang dikenal pasti dan usaha sedang giat dijalankan untuk memulihkan bekalan.

 

LINK VIDEO DI SINI: https://www.youtube.com/shorts/gkI6Nhr01dc

 

TNB mengambil langkah segera untuk pemulihan bekalan dengan sebahagian pengguna terlibat telah mendapat bekalan seawal jam 10.55 pagi.

 

TNB sedang berusaha memulihkan bekalan kepada pengguna yang masih terkesan. Pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di talian 15454 untuk maklumat lanjut.

 

"Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini," kata TNB dalam kenyataan di sini hari ini.

 

KEMAS KINI 2.20 pm

Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya memulihkan bekalan kepada sebahagian besar pengguna seawal empat minit gangguan berlaku pada kejadian kebakaran Pencawang Masuk Utama (PMU) Mid Valley pagi ini. Bekalan dipulihkan sepenuhnya sekitar jam 12:30 tengah hari.

 

Tindakan pantas Pasukan Teknikal TNB telah dapat memulihkan bekalan elektrik seawal jam 10:55 pagi. Bekalan elektrik dipulihkan secara berperingkat dengan majoriti kawasan terlibat mendapat bekalan masing-masing dalam tempoh satu setengah jam.

 

Menurut Ketua Pegawai Grid, Ir. Dev Anandan, pemeriksaan TNB mendapati PMU tersebut terpelantik pada jam 10:27 pagi dan bekalan terputus mulai jam 10:51 pagi. Gangguan bekalan itu melibatkan kawasan terhad sekitar Mid Valley dan sebahagian Desa Pantai.

Ir. Dev Anandan
             Ir. Dev Anandan

 


Untuk makluman katanya, sistem pengangkutan di KL Sentral tidak terjejas kerana mendapat punca bekalan yang berbeza.

 

“TNB mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat atas bantuan memadamkan kebakaran tersebut. Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna terlibat.” katanya lagi. - DagangNews.com