Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 Julai - Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) mengalu-alukan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan semua aktiviti pengendalian, penerimaan, pemunggahan untuk ‘loading’ dan ‘unloading’ barangan import ‘nonessential’ bagi tujuan import dan eksport di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menterinya, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, kebenaran khas itu diberikan bermula 15 Julai sehingga 17 Julai 2021 bagi mengurangkan kesesakan di pelabuhan-pelabuhan seluruh negara yang ada daripadanya telah mencapai kapasiti 80%.
Menurutnya, aktiviti ‘loading’ dan ‘unloading’ pula dibenarkan pada hari Isnin, Rabu, dan Jumaat mengikut prosedur operasi standard (SOP) MKN sedia ada.
"MOT akan terus memantau perkembangan di pelabuhan dan lapangan terbang dari semasa ke semasa untuk memastikan barangan dan kargo dapat terus berjalan dengan selamat mengikut SOP ketat pencegahan COVID-19 seperti yang ditetapkan oleh MKN.
"Ini amat penting bagi tempat yang sibuk seperti Pelabuhan Klang supaya dapat mengekalkan pengoperasian yang cekap dan mengelakkan berlakunya kesesakan akibat kepadatan kargo sepanjang tempoh PKPD.
"Langkah ini juga diharapkan dapat membantu pemain industri mengurangkan kos penyimpanan yang tinggi," jelas beliau dalam satu kenyataan.
Syarikat dalam industri yang terlibat mesti mematuhi syarat-syarat seperti berikut;
- SOP Pengangkutan dan Logistik bagi tempoh PKP yang dikemaskini pada 15 Jun 2021.
- Semua protokol penjagaan kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk pemeriksaan suhu badan, mengimbas kod QR menerusi aplikasi MySejahtera, mengamalkan penjarakan fizikal, menggunakan cecair pembasmi kuman dan memakai pelitup separuh muka.
- Tidak membenarkan individu di bawah pemantauan (PUS) atau mereka yang dikenakan kuarantin untuk mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti yang dibenarkan.
Tambah beliau, pengeksport, pengimport, dan pengendali gudang boleh mendapatkan kebenaran polis di balai terdekat bersama dokumen yang berkaitan dengan operasi kargo sebagai bukti beserta senarai nama pekerja yang terlibat.
"MOT akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa untuk memastikan pergerakan barangan dan kargo tidak terbantut demi manfaat pengguna sebagai destinasi akhir," katanya lagi. - DagangNews.com