Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 11 Jan - Standard Chartered Bank menjangkakan keberkesanan program vaksinasi akan memacu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 6.2% pada tahun ini berbanding 3.5% pada 2021.
Berdasarkan kajian yang dilakukan, ekonomi negara berada pada landasan tepat untuk berkembang dengan kadar pemberian vaksinasi yang tinggi dalam mengurangkan risiko Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh selain pengawalan penularan varian baharu.
Pada pertengahan November lalu 76% populasi negara ini sudah menerima sunttikan vaksinasi penuh.
"Pemintaan dari luar merupakan pemangkin kepada perkembangan kepada ekonomi negara pada tahun ini namun kemunculan varian baharu mungkin menjadi halangan untuk mengekalkan permintaan sumber dari luar.
"Pada masa sama, permintaan domestik juga dijangka meningkat dan kami menjangkakan sektor swasta akan menyumbang kepada peningkatan sebanyak 8% pada 2022 dengan memberi sokongan kepada peluang pekerjaan selain prospek gaji yang lebih baik," katanya menerusi kajian yang dijalankan terhadap ekonomi rantau Asia.
Standard Chartered berkata, aktiviti pelaburan dijangka menjadi semakin maju ekoran pembukaan sektor ekonomi domestik dan aktiviti pembinaan yang semakin rancak.
Pada suku ketiga 2021 (Q3-2021), pelaburan secara keseluruhan adalah 22% berada di bawah paras suku keempat 2019 (Q4-2019).
Pemberian pinjaman meningkat sebanyak 32% pada suku ketiga dengan pinjaman itu diberikan kepada sektor pembuatan selain pelaburan awam difokuskan kepada projek yang sedang berlangsung seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) serta infrastruktur digital.
Standard Chartered mengekalkan saranan 'overweight' untuk jangka pendek dan sederhana terhadap Ringgit Malaysia (RM) ekoran aktiviti eksport dilihat semakin rancak dengan lebihan dagangan sebanyak RM176 bilion bagi sembilan bulan 2021 (9M-2021) berbanding RM123 bilion untuk tempoh sama tahun sebelumnya.
"Barangan elektronik dan komoditi menjadi teras utama kepada aktiviti eksport negara dan kami menjangkakan lebihan dagangan dalam tempoh 12 bulan sehingga September iaitu pada kadar 9.3% KDNK.
"Kami juga menjangkan pendapatan daripada sektor pelancongan akan pulih pada kadar 1% untuk KDNK 2022 berbanding 2021," katanya. - DagangNews.com