IPOH 12 Dis - Kedai Emas Safura yang terletak di Gunung Rapat di sini melancarkan Tabung Amal Sayang Safura bagi berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.
Setiap RM5 daripada pembelian barangan kemas pelanggan akan disalurkan kepada tabung berkenaan.
Pengasas dan pemiliknya, Bibi Safura Ghulam Hyder berkata, pendekatan membeli sambil menderma itu merupakan inisiatif pihaknya untuk mempergiatkan program membantu masyarakat.
Menurut beliau, tabung sumbangan ini bukan sahaja dapat meringankan beban golongan yang memerlukan tetapi dapat menambah dana untuk membantu lebih ramai orang.
“Selama ini kita dapat membantu dua hingga tiga keluarga sahaja tetapi dengan adanya tabung sumbangan ini jumlah yang boleh dibantu bertambah.
"Kita akan menyalurkan sumbangan yang diamanahkan ini dan secara tidak langsung para pelanggan Kedai Emas Safura telah memainkan peranan bersama-sama,” katanya ketika ditemui DagangNews.
Selain Gunung Rapat, sebuah lagi cawangan Kedai Emas Safura terletak di Bandar Meru Raya.
Bersempena pelancaran tabung itu semalam, sebanyak 600 bungkus ayam segar diberikan kepada orang ramai di sekitar kawasan Gunung Rapat dan Sungai Rokam di sini.
Inisiatif itu juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial Kedai Emas Safura untuk membantu masyarakat meringankan perbelanjaan dapur.
Jelas Bibi Safura, setiap tahun pihaknya melaksanakan banyak program kemasyarakatan seperti itu khususnya melibatkan komuniti setempat.
“Selepas ini kita merancang untuk mengadakan secara bulanan pula misalnya pergi ke rumah orang-orang tua untuk bersama golongan itu,” kata beliau.
Pelancaran Tabung Amal Sayang Safura ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri Perak, Salbiah Mohamed. - DagangNews.com