Kejuruteraan Asastera tubuh JV dengan YL Global Ventures tembusi perniagaan robotik | DagangNews Skip to main content

Kejuruteraan Asastera tubuh JV dengan YL Global Ventures tembusi perniagaan robotik

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Syarikat perkhidmatan kejuruteraan elektrikal dan mekanikal, Kejuruteraan Asastera Berhad (KAB) membentuk usaha sama (JV) dengan YL Global Ventures Sdn Bhd (YLGV) untuk menembusi perniagaan penyelesaian robotik.

 

Perkongsian strategik itu bakal menyaksikan penubuhan sebuah syarikat JV iaitu KAB Robotic and Automation Solutions Sdn Bhd (KAB Robotic) dengan modal ekuiti awal bernilai RM100,000, menurut KAB dalam satu kenyataan.

 

“Di bawah lembaran terma (Term Sheet) itu, KAB akan memiliki 70% kepentingan ekuiti di dalam KAB Robotic, sementara baki sebanyak 30% akan dipegang oleh YLGV.

 

“Berhubung perkongsian ini, KAB dan YLGV akan bersama-sama meneroka peluang perniagaan untuk menubuhkan dan membangunkan hab robotik pertama di Malaysia dengan memanfaatkan hak pengedaran tunggal YLGV bersama-sama OTSAW Technology Pte Ltd (OTSAW) dan penama penyelesaian robotiknya,” jelas KAB.

 

Ditubuhkan pada tahun 2019, YLGV telah meraih perjanjian eksklusif menerusi anak syarikat milik penuhnya, Isenze Sdn Bhd dengan OTSAW untuk menjual dan mengedarkan penyelesaian robotik OTSAW di Malaysia.

 

Syarikat itu menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan inovatif kepada pelanggan awam dan swasta di Singapura seperti agensi kerajaan, hospitaliti, penjagaan kesihatan, penerbangan dan kemudahan pengurusan bangunan komersial.

 

Pengarah Urusan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, pihaknya teruja untuk mengumumkan kerjasama tersebut dengan YLGV, yang mempunyai hak eksklusif untuk mengedarkan dan menjual penyelesaian robotik ke dalam negara.

 

Lai Keng Onn
Lai Keng Onn

 

“Memandangkan kita ketika ini bersiap sedia untuk hidup dalam fasa endemik, penyelesaian robotik ini akan membantu premis kekal bersih dan bebas daripada virus.

 

“Penyelesaian keselamatan dan penghantaran yang berautonomi juga disasarkan untuk mengurangkan penggunaan tenaga kerja manusia. Kami mahu mewujudkan impak positif dengan YLGV dengan menawarkan penyelesaian mampan, boleh diskala dan cekap untuk memastikan setiap orang selamat daripada COVID-19,” katanya.

 

Beliau percaya JV itu akan mendatangkan aliran pendapatan baharu buat kumpulan pada masa hadapan menerusi program pemajakan yang akan diperkenalkan kepada pelanggan berpotensi kelak. - DagangNews.com