Kekurangan bekalan aluminium global pacu permintaan bahan binaan domestik - RHB Research | DagangNews Skip to main content

Kekurangan bekalan aluminium global pacu permintaan bahan binaan domestik - RHB Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Dis - RHB Research berkeyakinan terhadap prospek bahan binaan domestik didorong kekurangan bekalan aluminium di pasaran global dan kekurangan tekanan inflasi yang dilihat akan meningkatkan permintaan komoditi lain.

 

Harga aluminium London Metal Exchange (LME) mencatatkan pemulihan jangka pendek, naik 14% kepada AS$2,447 (RM10,851) satu tan daripada AS$2,155 (RM9,556) satu tan pada 30 September 2022 berikutan perubahan jangkaan pasaran terhadap dasar monetari.

 

Firma itu berkata, ia juga merupakan faktor dalam keputusan LME untuk tidak mengenakan sekatan terhadap aluminium keluaran Rusia, yang berpotensi membanjiri pasaran dengan bekalan yang mencukupi menyebabkan harga jualan purata (ASP) lebih rendah.

 

"Bagi jangka pendek, kami menjangkakan harga aluminium LME akan didagangkan dalam lingkungan AS$2,300-US$2,500 (RM10,199-RM11,086) setiap tan.

 

"Ini akan disokong oleh tahap inventori aluminium yang rendah di seluruh dunia, peningkatan penggunaan aluminium daripada sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) dan kenderaan elektrik (EV) dan potensi pelonggaran langkah-langkah pembendungan COVID-19 di China," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu percaya bahawa pembuat simen di bawah liputannya seharusnya dapat mengekalkan ASP pada tahap semasa kerana mekanisme lulus kos yang dilaksanakan masih ketinggalan berbanding kenaikan lebih 100% bagi harga arang batu.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor itu.

 

"PMAH kekal sebagai pilihan utama sektor kami, kerana ia merupakan proksi kepada pelebur aluminium yang menghasilkan karbon rendah di rantau Asean.

 

"Syarikat itu juga bersedia untuk mendapat manfaat daripada peralihan permintaan struktur ke arah peleburan Asia - kemudahan Eropah terhalang oleh krisis tenaga di sana," katanya. - DagangNews.com