KUALA LUMPUR 27 Julai - Kementerian Kesihatan Kemboja akan menyekat sementara penerbangan dari Malaysia dan Indonesia bermula 1 Ogos depan sebagai langkah mengekang penularan COVID-19 di negaranya.
Phnom Penh Post melaporkan, kes import COVID-19 kian meningkat di negara itu, terutama melibatkan Malaysia dan Indonesia.
Daripada 108 penumpang penerbangan dari luar negara, Kemboja mencatatkan sebanyak 55 kes import COVID-19 melibatkan negara Malaysia.
Lapan kes positif dikesan pada warga tempatan manakala empat lagi pada warga Indonesia yang tiba di ibu negara Kemboja, Phnom Penh menerusi dua penerbangan berbeza.
Setiausaha Kementerian Kesihatan dan jurucakap Kemboja, Or Vandine mengesahkan perkara tersebut menerusi kenyataannya, seperti dipetik Xinhua.
Pada Sabtu lalu, Kemboja mencatatkan 23 kes import baharu menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 225.
Dalam pada itu, 199 penumpang yang menaiki kedua-dua penerbangan terbabit dikuarantin selama 14 hari di pusat-pusat kuarantin.
Sementara itu, 15 kes baharu yang ditemukan pada lelaki warga Kemboja setelah pulang dari Rusia dan Mesir menerusi sambungan penerbangan di Malaysia, mendapati dua ujian pertama mereka menunjukkan negatif.
“Sampel ujian ke atas 15 mereka diuji buat kali ketiga dan keputusan yang dikeluarkan Jumaat lalu mendapati mereka positif COVID-19,” kata Vandine.
Kemboja setakat ini telah mencatatkan sebanyak 225 kes COVID-19 dengan 143 telah sembuh dan 82 masih dirawat. - DagangNews.com