Aiza Azreen Ahmad
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Sept. - Kempen Pilih Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya 800 perniagaan tempatan dapat meningkatkan jualan sebanyak 30% selain mendapat pendedahan jenama yang ketara di Taiwan.
Kempen tersebut merupakan kerjasama antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan EasyStore bagi membantu perniagaan tempatan memasuki dan berkembang di negara berkenaan.
Kempen itu akan bermula pada 1 hingga 10 Oktober 2021 dan mendapat sokongan daripada Institut Penyelidikan Pembangunan Perdagangan Taiwan, Exabytes, EasyParcel dan Janio.
Ketua Pegawai Perniagaan Digital MDEC, Aiza Azreen Ahmad berkata, inisiatif awam-swasta seperti ini sangat penting kerana agensi itu sedang berusaha untuk mengembangkan Malaysia sebagai negara yang terkehadapan dalam e-dagang dan bukan sekadar sebagai pengguna sahaja.
“Ini selaras dengan Pelan Halatuju Strategik e- Dagang 2.0 (NESR 2.0) yang bertujuan untuk meletakkan negara kita sebagai pasaran e-dagang terbesar di rantau ASEAN-6 menjelang 2025.
“MDEC turut berhasrat untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan e-dagang di Malaysia serta mahu menyelamatkan perniagaan dan pekerjaan rakyat.
“Menerusi usaha sama, kita akan dapat mencapai matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan bergerak maju ke arah penubuhan sebuah negara digital yang berdaya saing di peringkat global, berdasarkan inklusiviti, kelestarian dan kemakmuran bersama serta dengan tegas menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan.
MDEC dan EasyStore kini dalam proses rundingan dengan Institut Pembangunan dan Penyelidikan Perdagangan Taiwan bagi menyediakan program awal untuk perniagaan tempatan yang berminat memperkenalkan jenama serta memasarkan produk dan perkhidmatan ke segmen pasaran baharu di Taiwan.
Sementara itu, Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Pengembangan Perniagaan EasyStore, Alan Kok berkata, pihaknya teruja kerana berkongsi visi yang sama dengan MDEC dalam memberi sokongan berterusan kepada perniagaan tempatan untuk menyertai e-dagang.
“Sehubungan itu, kami berusaha sebaik mungkin untuk memudahkan proses penjualan menggunakan platform e-dagang dan akan melengkapkan perniagaan tempatan dengan kemampuan untuk mengeksport.
“Menerusi kerjasama dan kempen ini, kita dapat membantu perniagaan tempatan untuk mencapai jualan yang lebih besar dan berdaya saing di peringkat global,” ujar beliau.
Sesi webinar juga akan dijalankan untuk melengkapkan para peserta dengan pengetahuan dan tips pemasaran untuk memasuki pasaran Taiwan.
Tarikh permohonan untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia Select kini sedang berlangsung sehingga 31 September 2021 (11.59 malam) di www.malaysiaselect.asia.
Perniagaan yang masih belum beroperasi secara dalam talian juga boleh memulakan perjalanan e-dagang melalui rancangan saluran penjualan tunggal EasyStore tanpa sebarang kos.
Pada akhir 2020, lebih daripada 489,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan mikro menggunakan e-dagang manakala sebanyak 378,000 PKS telah dilatih.
PKS yang telah berjaya mengeksport produk juga meningkat kepada 27,000 berbanding 1,800 sebelumnya. S
Sektor ini juga menarik pelaburan bernilai RM1.5 bilion menerusi penubuhan hab e-fulfillment serantau. - DagangNews.com