Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Power Root Bhd. berdepan prospek mencabar dari segi pendapatan berikutan kenaikan harga bahan mentah dan permintaan lemah dalam pasaran eksport.
Tambahan pula, prestasi suku pertama berakhir 30 Jun 2021 kurang memberangsangkan dengan untung bersihnya susut 81.29% kepada RM2.01 juta, daripada RM10.73 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Bagi tempoh itu, perolehan juga susut 11.01% kepada RM74.68 juta berbanding RM83.92 juta bagi tempoh sama 2020, sebahagian besar berpunca daripada hasil eksport yang rendah.
Penganalisis Kenanga Research, Ahmad Ramzani Ramli berkata, margin pendapatan Power Root masih berdepan cabaran disebabkan ketidaktentuan harga gula dan kos operasi yang tinggi ekoran pandemik COVID-19.
"Kami berhati-hati dan optimis, harga gula akan menurun pada akhir 2021 disebabkan permintaan berkurangan dan keadaan cuaca yang lebih baik.
"Tetapi, kami mengekalkan pandangan yang konservatif terhadap margin bagi tahap ini sekurang-kurangnya bagi tahun kewangan 2022," katanya dalam nota kajian hari ini.
Prestasi pada suku tersebut dilihat tersasar daripada jangkaan Kenanga Research ekoran kelemahan eksport dan juga kos operasi tinggi.
Susulan itu, ia menyemak turun penilaian Power Root kepada 'underperform' dengan harga sasaran juga disemak kepada RM1.15 berbanding RM1.45 sebelum ini.
Berdasarkan prestasi suku pertama itu, firma tersebut mengurangkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 sebanyak 21% kepada RM26 juta dengan mengambil kira margin yang mencabar dan kadar cukai tinggi.
Bagaimanapun, Ahmad Ramzani berkata, inventori yang berkurangan pada akhir tahun ini dijangka dapat mengembalikan harga jualan gula kepada normal dan Power Root boleh mengambil peluang ini dengan melepaskan kenaikan kos kepada pengguna.
"Dalam pada itu, pasaran bagi rantau Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) berdepan cabaran berikutan pelaksanaan cukai gula dengan Power Root tidak mungkin melepaskannya kepada pengguna bagi mengelakkan penurunan permintaan.
"Tetapi, margin yang merosot akan diimbangi dengan produk alternatif seperti produk bebas gula atau harga lebih murah kepada produk arus perdana yang mungkin muncul dalam masa terdekat," jelasnya.
Sementara itu, CGS-CIMB menjangkakan prospek Power Root hanya dilihat lebih positif pada separuh kedua 2022.
Ini susulan daripada kilang pengeluaran minuman pracampuran dihentikan sementara operasi antara 1 hingga 7 Julai dan kemudiannya 5 hingga 11 Ogos disebabkan jangkitan COVID-19.
Penganalisisnya, Walter Aw berkata, penutupan ini menyebabkan kadar penggunaan yang rendah bagi suku kedua dan boleh menjejaskan jualan tempatan dan eksport.
"Sudah tentu, ia akan menyebabkan prestasi yang lemah pada suku kedua, justeru, kami menjangkakan Power Root akan merekodkan prestasi yang baik pada separuh kedua 2022 apabila jualan eksport dan tempatan kembali meningkat," katanya.
Dengan mengambil kira prestasi suku pertama di bawah jangkaannya, CGS-CIMB mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022 hingga 2024 ekoran jualan lebih rendah dan harga bahan mentah yang tinggi.
Firma itu juga mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham Power Root dengan harga sasaran direndahkan kepada RM1.30 berbanding RM1.35. - DagangNews.com