Kenaikan harga minyak sawit mentah, pelupusan aset akan tingkatkan pendapatan Boustead, kata BIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Kenaikan harga minyak sawit mentah, pelupusan aset akan tingkatkan pendapatan Boustead, kata BIMB Securities

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Dis - BIMB Securities Research menjangkakan kenaikan harga minyak sawit mentah dan keuntungan Boustead Holdings Berhad daripada pelupusan aset perladangan akan meningkatkan pendapatan syarikat pada FY22.

 

Firma itu juga menjangkakan perkembangan kumpulan lebih 100% dari tahun ke tahun dan untung bersih sebanyak RM588 juta.

 

"Kami yakin dengan keupayaan kumpulan itu dalam mengembangkan pendapatannya untuk jangka panjang sekiranya mereka dapat meningkatkan produktiviti dengan meningkatkan hasil buah tandan segar (BTS) dan kecekapan operasi," katanya dalam satu ota kajian, hari ini.

 

Firma itu juga positif dengan pelantikan Izaddeen Daud sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan baharu berkuat kuasa 1 Disember 2022 kerana ini akan memastikan kesinambungan rangka kerja strategi kumpulan, kerana beliau memainkan peranan dalam membantu kumpulan mencipta keuntungan pada FY21.

 

Katanya, sebelum pelantikan itu beliau adalah Timbalan Pengarah Urusan kumpulan yang turut berkhidmat sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif untuk Boustead Properties dari Julai 2022 hingga Februari 2021.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu akan meneruskan fokus kepada Program Pengimbangan Semula Aset dan inisiatif Program Peningkatan Prestasi Perladangan (PIPP) iaitu, dengan meningkatkan hasil, kecekapan ladang dan pengukuran pengurusan kos yang berkesan melalui amalan terbaik dan pensijilan.

 

Selain itu katanya, kumpulan itu juga akan mengembangkan perniagaan melalui integrasi perladangan iaitu, mempelbagaikan tanaman alternatif dan mengoptimumkan tanah yang tidak digunakan.

 

"Pada masa sama, kumpulan itu akan memberi fokus kepada pendigitalan dan proses operasi dan pengurusan berasaskan teknologi selain memberi tumpuan kepada pengurusan modal dengan mengukuhkan kunci kira-kira, membiayai CAPEX, pembesaran tanah, pelaburan kolaboratif dan meminimumkan perbelanjaan faedah," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 67 sen. - DagangNews.com