Kenanga kekalkan 'outperform' terhadap prospek Dialog terus utuh | DagangNews Skip to main content

Kenanga kekalkan 'outperform' terhadap prospek Dialog terus utuh

Kemudahan O&G lengkap dengan Terminal Langsat milik Dialog di Pengerang, Johor.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Kenanga Research mengekalkan tinjauan positif terhadap Dialog Group Bhd walaupun hasil pendapatan FY22 berada di bawah jangkaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek jangka panjang kumpulan itu kekal utuh dengan pembangunan lanjut Fasa 3 Pengerang berperanan sebagai pemangkin penarafan semula yang berpotensi.

 

"Melihat ke hadapan, pembangunan selanjutnya Pengerang Fasa 3 akan menjadi fokus utama Dialog.

 

"Dengan permulaan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) Petronas, kami percaya ini akan membantu Dialog untuk mempercepatkan perbincangan dengan bakal rakan kongsi.

 

"Dialog juga mempunyai 500 ekar lagi tanah di kawasan Pengerang yang tersedia untuk pembangunan lanjut untuk jangka panjang," kata Kenanga dalam nota kajiannya hari ini.

 

Menurut Kenanga, Dialog masih mempunyai 17 ekar lagi tanah di Langsat berikutan penyiapan pembesaran semasa terminal Langsatnya.

 

Tanah tambahan itu berpotensi menambah 200,000 meter padu lagi kapasiti penyimpanan pada masa hadapan, menjadikan jumlah kapasiti Langsat kepada kira-kira satu juta meter padu.

 

Pada FY22, keuntungan teras Dialog dilaporkan pada RM508 juta, yang tersasar daripada ramalan dan konsensus Kenaga, masing-masing sebanyak 6% dan 7%, disebabkan kos projek yang lebih tinggi dalam operasi hilirannya.

 

Kenanga mengurangkan ramalan FY23 untuk mengambil kira margin hiliran yang lebih lemah.

 

Ia mengekalkan penarafan "outperform" pada saham dengan harga sasaran lebih rendah 6% sebanyak RM3.10 berikutan pemotongan pendapatan.


 

dialog

 


"Secara keseluruhan, walaupun menghadapi cabaran jangka pendek, tinjauan jangka panjang kumpulan sebahagian besarnya kekal utuh, dengan aset pertengahan alirannya turut menyediakan tahap pertahanan dan daya tahan pendapatan.

 

"Sebab itu, sebarang perkembangan lanjut bagi fasa 3 Pengerangnya dijangka berfungsi sebagai pemangkin penarafan semula yang berpotensi untuk saham itu," kata firma penyelidikan itu. - DagangNews.com