Kenanga Research jangka pemain industri sektor pembungkusan plastik mampu kekal margin keuntungan | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka pemain industri sektor pembungkusan plastik mampu kekal margin keuntungan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Sept - Walaupun berdepan jualan yang lemah selain purata harga jualan (ASP) yang rendah namun pemain industri sektor pembungkusan plastik dijangka mampu mengekalkan margin keuntungan mereka.

 

Kenanga Research berkata, ia disokong oleh campuran produk yang lebih baik dengan peningkatan produk margin yang lebih tinggi.

 

"Kami melihat sedikit peningkatan dalam permintaan pada separuh kedua tahun ini kerana pembeli tergesa-gesa menyimpan stok sebelum berlaku sebarang kenaikan harga didorong oleh harga resin yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Katanya,  permintaan dalam sektor itu kekal lemah kerana tiada peningkatan permintaan yang ketara walaupun China membuka semula ekonominya pada awal 2023.

 

China memainkan peranan penting dalam industri plastik global kerana mereka adalah pengeluar dan pengguna produk plastik terbesar di dunia.

 

"Secara amnya jumlah jualan yang lebih lemah kesan kelembapan ekonomi global dan ASP yang lebih rendah (sejajar dengan kejatuhan harga resin yang merupakan kos input utama), " katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, industri itu terus merasakan kesan peningkatan kos operasi pada suku kedua 2023, terutamanya daripada kos buruh dan utiliti yang lebih tinggi.

 

"Bagaimanapun, mereka berjaya mengekalkan margin keuntungan dari suku tahun ke suku tahun kesan produk campuran yang lebih baik serta kawalan kos yang lebih ketat," katanya.

 

Mereka menjangkakan BP Plastics (market perform; TP: RM1.23), Scientex (under perform; TP: RM3.65) dan Thong Guan Industries akan menghadapi kos elektrik yang lebih tinggi pada separuh kedua 2023 kerana mereka menarik diri daripada program Green Energy Electricity (GET), berikutan peningkatan yang lebih tinggi.

 

"Impak kos elektrik yang lebih tinggi perlu diuruskan dengan baik kerana elektrik biasanya membentuk hanya 4% hingga 6% daripada jumlah kos pengeluaran,  pemain industri memulakan pemasangan panel solar, dan mereka meningkatkan secara beransur-ansur harga untuk menyalurkan kos yang lebih tinggi kepada pelanggan akhir," katanya. - DagangNews.com