Kenanga Research kekal penarafan 'neutral' terhadap sektor teknologi | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research kekal penarafan 'neutral' terhadap sektor teknologi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Sept - Kenanga Research mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor teknologi kerana merasakan masih terlalu awal untuk mengesahkan bahawa keseluruhan sektor mula menunjukkan perubahan ke arah trajektori positif.

 

Firma penyelidikan itu berpandangan positif terhadap beberapa syarikat terutamanya Kelington Group Berhad berdasarkan keupayaannya untuk meraih pendapatan berdaya tahan selain menjadi proksi pengembangan fabrikasi wafer pada masa hadapan.

 

Pada masa sama, keterlihatan pendapatannya yang kukuh disokong oleh buku pesanan bernilai RM1.77 bilion dan kedudukan kukuh dalam pelbagai pasaran termasuk Malaysia, Singapura dan China.

 

"Kami juga menyukai Inari Amertron Berhad kerana menunjukkan peningkatan kukuh dalam perniagaan produk frekuensi radion (RF) selain keupayaan mengekalkan margin keuntungannya ketika kos operasinya semakin meningkat.

 

"Memandangkan peningkatan kesedaran tentang keselamatan siber, kami percaya LGMS Berhad juga berada pada kedudukan positif memandangkan penglibatannya dalam ruang keselamatan siber yang dijangka menjadi pemacu pendapatan seterusnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi syarikat terpilih di bawah liputan mereka terjejas oleh ketiadaan rangsangan yang dijangka dalam pesanan walaupun ekonomi China kembali dibuka.

 

Katanya, seperti suku sebelumnya, terdapat sedikit rangsangan pendapatan daripada pembukaan semula China semasa suku kedua tahun ini. 

 

Sebagai contoh, D&O (under perform ; TP: RM2.60) paling mengecewakan antara yang lain kerana prestasi suku tahun ke suku tahunnya yang lebih lemah terlepas anggaran tahun penuh konsensus dengan margin yang besar.

 

Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pelanggan yang teragak-agak untuk memberikan komitmen kepada pesanan yang lebih tinggi dalam keadaan prospek ekonomi yang tidak menentu berikutan kadar penggunaan yang tidak optimum. - DagangNews.com