KUALA LUMPUR 14 Julai - Kenanga Research memulakan liputan terhadap Boilermech Holdings Berhad dengan saranan 'outperform' pada harga sasaran (TP) 90 sen sesaham.
Firma itu berkata, masa hadapan kumpulan itu dijangka lebih baik didorong oleh pemulihan pasca COVID-19, keadaan pasaran yang lebih baik ekoran harga minyak sawit yang lebih kukuh.
Katanya, penyertaan kumpulan itu dalam segmen biogas dan tenaga solar juga akan memacu perkembangan dua digit mereka.
"Kami menjangkakan keuntungan teras bersih (CNP) untuk FY23E bertambah sebanyak 23.5% kepada RM21 juta untuk pemulihan pasca-Covid bagi perniagaan dandangnya dan pertumbuhan dua angka untuk perniagaan EPC solarnya.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan margin keuntungan kumpulan itu akan kekal lemah kesa daripada kenaikan kos bahan mentah dan tenaga pekerja.
"Selepas mengambil kira kekuatan segmen dandang dan harga minyak sawit namun margin keuntungan dijangka pulih secara beransur-ansur untuk membantu kumpulan itu mencapai CNP RM28.9 juta atau pertambahan 37.9% pada hujung FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, pendapatan kumpulan akan menjadi lebih baik didorong oleh perkembangan kilang pembuatan di Surabaya.
Pada masa sama, merkea juga memiliki peluang cerah untuk berkembang dalam segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) selain sasaran pulangan ekuiti (ROE) lebih baik daripada perniagaan teras Boiler EPC akibat kurangnya persaingan.
"Bagaimanapun, mereka tetap berhadapan beberapa risiko seperti gangguan rantaian bekalan, kos yang lebih tinggi untuk tenaga pekerja selain kadar kebergantungan yang tinggi untuk sesuatu industri serta risiko tukaran mata wang asing," katanya. - DagangNews.com