Kenanga Research mulakan liputan terhadap Engtex Group dengan saranan 'outperform', TP 77 sen | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research mulakan liputan terhadap Engtex Group dengan saranan 'outperform', TP 77 sen

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Nov - Kenanga Research memulakan liputan terhadap Engtex Group Berhad dengan saranan 'outperform' pada harga sasaran (TP) 77 sen sesaham.

 

Firma itu menyukai kumpulan itu kerana mereka memiliki potensi besar dalam aktiviti penggantian paip di dalam pasaran domestik selain dominan dalam penyediaan paip keluli lembut (MS) berdiameter besar dan paip besi mulur berdiamter kecil (DI).

 

Katanya, mereka juga memiliki prospek pendapatan yang positif disokong oleh projek tertunggak dan barisan projek baharu.

 

"Kumpulan itu bagaimanapun berdepan dengan beberapa risiko dalam perniagaan termasuk kos input yang tidak stabil dan akan menjejaskan harga jualan bagi produk mereka.

 

"Selain itu, kumpulan itu juga berdepan kelewatan dalam pelaksanaan projek infrastruktur air," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, terdapat sejumlah besar aktiviti penggantian paip di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 terutama di Selangor dan seluruh negara.

 

Berdasarkan statistik terkini Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menunjukkan 70- 75% air tidak berhasil (NRW) berpunca daripada kebocoran, pecah dan kerosakan pada paip dan kelengkapan.

 

Sementara itu, Persatuan Air Malaysia (MWA) berkata, rangkaian pengagihan air di Malaysia terdiri daripada paip MS (29.1%), paip asbestos-simen (AC) (27.1%) dan paip DI (8.0%).

 

"Kumpulan itu telah memperoleh kontrak baharu sebanyak RM151 juta daripada kontraktor utama loji Rawatan Sungai Rasau iaitu Gamuda Berhad (untuk Pakej 1) dan Taliworks Corporation Berhad (untuk Pakej 2 dan 3).

 

"Pada masa ini, nilai kontrak tertunggak kumpulan adalah berjumlah RM285 juta (paip DI: RM29 juta, paip MS: RM256 juta) manakala tender berpotensi berjumlah RM623m (paip DI: RM54 juta, paip MS: RM56 juta)," katanya. - DagangNews.com