Kenanga Research mulakan liputan terhadap HIL Industries dengan saranan 'outperform', TP RM1.08 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research mulakan liputan terhadap HIL Industries dengan saranan 'outperform', TP RM1.08

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Kenanga Research memulakan liputan terhadap HIL Industries dengan saranan 'outperform' pada harga sasaran (TP) RM1.08 sesaham.

 

Firma itu menjangkakan, pendapatan sektor hartanah akan begerak sederhana manakala pendapatan dari segmen pembuatan plastik akan meningkat.

 

Katanya, pertumbuhan teras tahunan (CEPS) dijangka sekitar 14% hasil pesanan pembuatan, keuntungan pembangunan hartanah yang disatukan dan peningkatan pendapatan daripada kunci kira-kira tunai bersih.

 

"Tiada pelarasan pada TP kami berdasarkan penarafan tiga bintang yang diberikan untuk amalan alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Firma itu berkata, kumpulan itu bukan sekadar pengilang acuan suntikan komponen tetapi juga pembekal penyelesaian plastik sehenti.

 

Katanya, dengan keupayaan untuk membuat acuan, melaksanakan pengecatan khusus, salutan dan hiasan permukaan serta kerja pemasangan, kumpulan itumampu menawarkan kepakaran serba lengkap kepada pelanggan.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu dijangka berdepan gangguan rantaian bekalan pada masa akan datang.

 

"Selain itu kumpulan itu akan berdepan kos bahan mentah yang lebih tinggi berbanding jangkaan.

 

"Pada masa sama, kumpulan itu terlalu bergantung kepada segmen automotif dan hartanah yang terlalu sensitif terhadap sebarang perubahan pada kadar faedah," katanya. - DagangNews.com