Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Sept. - Kenanga Investment Bank Research optimis terhadap daya tahan BIMB Holdings Bhd. meskipun terdapat kelewatan terhadap langkah penstrukturan kumpulan.
Sebelum ini kumpulan menyasarkan untuk melengkapkan langkah tersebut pada akhir bulan September sebelum menyemak semula kepada awal Oktober ini sementara menanti proses pentadbiran selesai.
Kumpulan sebelum ini telah memperoleh kelulusan yang diperlukan daripada pemegang saham dan badan pengawal selia bagi meneruskan pelan penstrukturan ini.
Penstrukturan ini akan menyaksikan Bank Islam Malaysia Bhd. mengambil alih status penyenaraian BIMB di papan utama Bursa Malaysia.
Penganalisis Kenanga Research, Clement Chua berkata, para pelabur kini menantikan bentuk penstrukturan semula kumpulan terutama kedudukan Takaful, dengan BIMB ketika ini menjangkakan pulangan ekuiti kira-kira 11%.
"Sebagai satu-satunya bank patuh syariah yang disenaraikan kelak, kemungkinan saham ini akan mencetuskan kejutan tidak dijangka dari segi penawaran dan permintaan bagi sesetengah pelabur," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu mengekalkan 'outperform' ke atas saham BIMB dengan harga sasaran pada RM5.10.
Baca : Penstrukturan semula BIMB dijangka selesai Oktober 2021 - CGS CIMB
Dalam taklimat kepada penganalisis selepas mengumumkan prestasi kewangan separuh pertama baru-baru ini, kumpulan memaklumkan penawaran bantuan bayaran semula secara bersasar (TRA) mencapai 42% daripada jumlah pembiayaan berbanding kurang 10% pada suku kedua 2021.
Bagaimanapun, ia masih di bawah sasaran 50% seperti dijangka pengurusan kumpulan, sebahagiannya disebabkan pilihan moratorium secara opt-in seperti diumumkan di bawah pakej Pemulih.
Oleh itu, pihak pengurusan juga yakin bahawa kerugian pengubahsuaian untuk suku ketiga ini akan berlegar antara RM50 hingga RM60 juta.
Clement berkata, kedudukan BIMB sebaliknya masih teguh meskipun terdapat beberapa kebimbangan terhadap pertumbuhan pembiayaan disebabkan kelemahan ekonomi.
"Pihak pengurusan juga menerima sebahagian masalah berpunca daripada ketidaktentuan ekonomi yang menyebabkan beberapa akaun memohon untuk penangguhan bagi memperoleh kecairan," katanya.
Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2021, BIMB merekodkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT)
sebanyak RM612.2 juta, meningkat 6.6% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan bersih bagi tempoh itu juga meningkat sebanyak 6.8% kepada RM387.1 juta
Kumpulan turut mencatatkan pulangan ekuiti (ROE) tahunan yang sihat sebanyak 11.6% dan aset bersih sesaham berada pada RM3.69 setakat 30 Jun 2021. - DagangNews.com