Kenanga Research optimis terhadap prospek Kumpulan Perangsang Selangor | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research optimis terhadap prospek Kumpulan Perangsang Selangor

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Nov - Kenanga Research kekal optimis dengan prospek Kumpulan Perangsang Selangor Berhad selepas anak syarikatnya, CPI (Penang) Sdn. Bhd. yang terlibat dalam bidang kejuruteraan thermoplastik (ETP) berjaya mendapatkan tambahan tempahan daripada pelanggan baharu dan sedia ada.

 

Firma itu berkata, pertambahan tempahan itu merupakan testimoni kepada kualiti perkhidmatan dan kekuatan produk yang ditawarkan selain.

 

Katanya, CPI juga berjaya mengatasi masalah kekurangan tenga kerja selepas mereka menerima kelulusan daripada pihak berkuasa untuk membawa masuk seramai 200 pekerja dalam tiga kelompok.

 

"Kumpulan pertama akan tiba pada bulan ini dan ia akan meningkatkan kadar penggunaan kilang daripada 70% kepada antara 75% hingga 80% manakala selebihnya tiba pada tahun hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, CPI berdepan masalah pendapatan yang lemah bagi FY22 disebabkan kekurangan cip elektronik di peringkat global selain kos operasi yang tinggi terutamanya melibatkan pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 pada Mei 2022.

 

Pada masa sama mereka juga berdepan kenikan kos input seperti kenaikan harga polikarbonat (PC) dan akrilonitril-butadiena-stirena (ABS).

 

"Perkara itu sebahagiannya diimbangi keuntungan daripada dolar Amerika Syarikat yang lebih kukuh berbanding ringgit kerana 80% daripada jumlah jualan CPI didenominasikan dalam mata wang itu," katanya.

 

Firma itu berkata, mereka menyukai kumpulan itu kerana memiliki prospek pertumbuhan kukuh industri elektronik pengguna yang merupakan pelanggan utama produk serta perkhidmatannya dan pertumbuhan jangka panjangnya disokong oleh pengembangan di operasi luar negara.

 

Selain itu katanya, kumpulan itu berperanan penting dalam rantaian bekalan inovator milik persendirian selain peralatan elektronik pengguna berteknologi tinggi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) 77 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com