Kenanga Research positif Samaiden akan raih lebih banyak projek baharu | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research positif Samaiden akan raih lebih banyak projek baharu

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Kenanga Research positif terhadap prospek Samaiden Group Berhad terutama dalam meraih lebih banyak projek baharu pada masa akan datang.

 

Firma itu berkata, sebagai pakar kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar fotovoltaik (PV),  mereka dilihat akan terus mendapat manfaat daripada penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) yang semakin berkembang pesat di Malaysia.

 

Katanya, usaha niaga serantaunya bagaimanapun memerlukan sedikit masa untuk memberikan sumbangan pendapatan kepada kumpulan itu.

 

"Kami mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan itu bagi FY22-23E kerana kami percaya pelaburan mereka berada di landasan tepat," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu menjalinkan kerjasama dengan Aneka Jaringan Holdings Berhad untuk menerokai pasaran tenaga Indonesia.

 

Kerjasama itu akan mencipta aliran pendapatan baharu bagi kedua-dua syarikat melalui kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan sistem PV dan loji kuasa di Indonesia.

 

Firma itu berkata, Samaiden sedang mengintai peluang untuk memasuki pasaran Vietnam terutama selepas membuka pejabat di sana.

 

"Vietnam merupakan pengguna elektrik kedua terbesar di Asia Tenggara dan dijangka menjadi antara 10 negara di peringkat global yang mempunyai kapisiti tenaga solar terbesar pada masa dakan datang," katanya. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu 74 sen sesaham berbanding 71 sen sebelum ini. - DagangNews.com