Kenanga Research turunkan unjuran untung bersih Karex sebanyak 5% pada FY25 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research turunkan unjuran untung bersih Karex sebanyak 5% pada FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kenanga Research menyemak turun unjuran untung bersih Karex Bhd sebanyak 5% pada FY25 selepas mengambil kira tempoh tunggu hasil bagi produk sintetik baharu.

 

Firma penyelidikan itu turut memperkenalkan unjuran bagi FY26 dengan jangkaan kumpulan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM51 juta didorong campuran produk yang menggalakkan dan margin untung kasar yang lebih tinggi.

 

"Karex akan menerima tempahan bernilai tinggi untuk kondom dan pelincir peribadi dengan memanfaatkan reputasi industrinya yang kukuh, rangkaian produk yang pelbagai dan kepakaran pengawalseliaan.

 

"Pergerakan produk kondom sintetik ke sesetengah pasaran dengan penghantaran pertama akan dibuat pada November 2024 memberikan peluang besar bagi mengembangkan bahagian pasaran pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, hasil 4QFY24 merosot 3% disebabkan jualan kondom yang lebih rendah, sebahagiannya diimbangi oleh jualan pelincir peribadi yang lebih tinggi.

 

Ia membawa kepada bahagian jualan pasaran komersial yang lebih tinggi, meningkatkan margin keuntungan kasar kepada 35.3% daripada 33.7% pada suku sebelumnya.

 

Bagaimanapun, penggunaan kemudahan sarung tangan merosot mengakibatkan penurunan 37% dalam untung kasar dan penurunan untung bersih sebanyak 20%.

 

Kenanga Research terus menyukai kumpulan itu kerana kedudukan pasarannya dalam industry kondom yang berkembang pesat selain penyelidikan dan pembangunan (R&D) inovasi produk yang kukuh serta pematuhannya kepada piawaian serta pensijilan antarabangsa.

 

Katanya, peralihan strategiknya dalam meningkatkan rantaian nilai yang lebih tinggi dan pemulihan pasaran selepas wabak di pasaran seperti China semakin meningkat bagi produk kondom inovatif berkualiti tinggi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.12 sesaham," katanya. - DagangNews.com