Kenanga Research unjur pendapatan sektor teknologi pulih secara beransur-ansur | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research unjur pendapatan sektor teknologi pulih secara beransur-ansur

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - Kenanga Research mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor teknologi selepas melihat keputusan keseluruhan 2QCY22 untuk syarikat di bawah liputannya berada dalam keadaan stabil.

 

Firma itu berkata, kebanyakan syarikat bertahan dengan baik dengan syarikat seperti Kelington Group Berhad memasuki 2HFY22 dengan keadaan yang lebih kukuh berdasarkan kepada pendedahan uniknya kepada pengembangan agresif dalam fabrikasi wafer.

 

Katanya, syarikat pemasangan dan ujian semikonduktor (OSAT) penyumberan luar (seperti Unisem (M) Berhad dan Malaysia Pacific Industries Berhad) yang mempunyai operasi di China mungkin menghadapi cabaran dengan penutupan berpanjangan di China, tetapi kilang masih boleh beroperasi dengan pekerja yang tinggal di tapak.

 

"Kami juga melihat SKP Resources Bhd (SKP) akan menguasai ruang produk isi rumah premium selepas isu berkenaan tenaga buruh melanda sektor EMS pada suku tahun sebelumnya.

 

"Secara keseluruhan, walaupun faktor makro yang tidak menggalakkan masih berterusan, kami yakin untuk sektor teknologi tempatan berkembang dalam masa panjang.

 

"Perkara itu didorong pendirian neutral Malaysia dalam persaingan cip China-Amerika Syarikat (AS) dan kepakaran dalam proses semikonduktor," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pihaknya menyukai SKP (OP; TP: RM2.10) untuk menjadi proksi utama kepada jenama dengan produk isi rumah premium yang berkembang pesat selain keupayaannya untuk mengekalkan margin yang stabil walaupun gaji serta kos bahan mentah yang tinggi dan kebergantungan tinggi pelanggannya kepada kumpulan.

 

"Kami juga menyukai Inari Amertron Berhad (OP; TP: RM3.45) kerana memiliki keuntungan terbaik dalam ruang OSAT selain penglibatan langsung dalam rantaian 5G dan penambah baikan serta inovasi baharu dalam mengekalkan pelanggan," katanya. - DagangNews.com