Kenanga Research unjur pertambahan pesakit pacu pendapatan IHH pada 2023 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research unjur pertambahan pesakit pacu pendapatan IHH pada 2023

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Dis - Kenanga Research mengunjurkan pertambahan pesakit dan peningkatan intesiti hasil akan memacu pendapatan IHH Healthcare Berhad bagi 2023.

 

Firma itu berkata, pendapatan kumpulan itu juga akan didorong oleh perkhidmatan bukan COVID-19 dan pembedahan bukan elektif semakin pulih.

 

Firma itu juga menjangkakan, pendapatan kumpulan itu bagi setiap pesakit mencatatkan pertumbuhan antara 10% hingga 15% ) dan kadar penghunian katil antara 60% hingga 73% (berbanding anggaran 56% hingga 70%) untuk hospitalnya di Malaysia, Singapura, India dan Turki.

 

"Kami percaya pertumbuhan utama kumpulan itu adalah berdasarkan kepada pertambahan pesakit dan penghunian katil serta pembedahan elektif yang semakin pulih.

 

"Pada masa sama, penambahan katil baharu akan memacu pendapatan kumpulan itu (sebelum ini berdepan kekangan kekurangan kakitangan) selain sumbangan setahun penuh pertama daripada hospital Acibadem Ataşehir," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma itu juga menyukai kumpulan itu kerana kuasa penentuan harga berdasarkan kepada permintaan semasa untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta yang membolehkan mereka melepaskan kos meskipun berdepan kenaikan inflasi serta kehadiran di beberapa negara termasuk MAlaysia, Singapura, Turki dan China.

 

Sementara itu, pasaran farmaseutikal over-the-counter (OTC) di Malaysia berkembang pada CAGR sebanyak 6% kepada anggaran AS$715 juta (RM3.2 bilion) menjelang 2027 apabila pengguna mengambil sikap yang lebih proaktif terhadap kesihatan dan kesejahteraan mereka (termasuk mengambil makanan tambahan kesihatan secara berkala), terutamanya selepas pandemik COVID-19.

 

Firma itu berkata, ia merupakan petanda baik bagi Kotra yang mengeluarkan dan menjual suplemen OTC serta produk pemakanan dan farmaseutikal dengan jenama isi rumah utama seperti Appeton, Axcel dan Vaxcel. 

 

"Kami juga menyukai Kotra kerana model perniagaan bersepadunya yang merangkumi keseluruhan spektrum rantaian nilai farmaseutikal daripada R&D, konsep produk kepada pembuatan dan jualan," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor penjagaan kesihatan. - DagangNews.com