Kenanga Research unjur pertumbuhan pinjaman Maybank lebih rendah pada FY24 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research unjur pertumbuhan pinjaman Maybank lebih rendah pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 April - Kenanga Research mengunjurkan pertumbuhan pinjaman Malayan Banking Bhd (Maybank) pada FY24 lebih rendah antara 6% hingga 7% berbanding 9% pada FY23 kesan permintaan yang lebih perlahan dalam kebanyakan sektor.

 

Katanya, walaupun permintaan agak perlahan ketika ini tetapi sokongan lebih baik datang daripada pemulihan dalam perbelanjaan pengguna serta aktiviti ekonomi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, unit perbankan globalnya sedang berusaha mendapatkan manfaat daripada pemulihan serantau, terutamanya dalam status pertumbuhan tinggi di Indonesia dan peningkatan portfolio korporat.

 

"Bagi pasaran domestik, kumpulan itu menjangkakan kesan sampingan akan timbul daripada peningkatan urus niaga gadai janji sekunder yang mungkin membawa kepada lebih banyak bahagian pasaran kerana kurang persaingan dalam ruang itu.

 

"Pada masa sama, mereka sedang meningkatkan pelaburan bagi meningkatkan kemudahan dalam memastikan akaun perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan menjadi lebih baik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu menjangkakan pemampatan margin faedah bersih (NIM) berlaku pada FY24 dengan jangkaan penyusutan sehingga lima mata asas.

 

Mereka percaya bahawa keadaan itu boleh dikaitkan dengan permintaan pinjaman yang lebih tinggi sejajar dengan prospek ekonomi yang lebih baik kerana kumpulan itu perlu bersaing dengan lebih agresif untuk mengekalkan bahagian pasaran pembiayaan.

 

Kenanga Research berkata, pada FY23, kumpulan itu menikmati pendapatan bukan faedah (NOII) yang kukuh sebanyak 38% terutama daripada lonjakan keuntungan hasil.

 

Katanya, ia dijangka menjadi sederhana pada FY24 kerana daya tarikan lebih baik hadir daripada pendapatan berasaskan yuran dengan perniagaan pengurusan kekayaan sedang berusaha untuk menembusi pasaran serantau.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM11.00 sesaham," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu bagaimanapun berdepan beberapa cabaran termasuk pemampatan margin lebih tinggi daripada jangkaan, pertumbhan pinjaman lebih rendah daripada jangkaan serta kemerosotan kualiti aset yang lebih teruk.

 

Selain itu mereka juga berdepan cabaran seperti kelembapan dalam aktiviti pasaran modal, ketidakstabilan tukaran mata wang dan perubahan kepada kadar dasar semalaman (OPR). - DagangNews.com