Kenapa syarikat perlu tukar hutang dengan pembangunan mampan? | DagangNews Skip to main content

Kenapa syarikat perlu tukar hutang dengan pembangunan mampan?

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Pandemik COVID-19 mengheret syarikat-syarikat untuk berhutang lebih banyak sehingga melebihi had mereka. 

 

Tidak dinafikan kebanyakan perniagaan bergelut dengan kerugian pendapatan sehingga menambah kos peminjaman, seterusnya aliran tunai pula merosot. 

 

Ketika waktu mencabar ini, sememangnya pakej rangsangan kerajaan telah memberi sokongan kepada perniagaan untuk terus bertahan.

 

Tetapi, dalam perniagaan-perniagaan masih ‘terkial-kial’ untuk mengadaptasi norma baharu, mereka dibebani dengan kebimbangan pakej rangsangan yang bakal berakhir. 

 

Ketua Ahli Ekonomi di Ambank Research, Dr. Anthony Dass melihat inilah masanya untuk syarikat-syarikat ‘mengintai’ langkah pertukaran hutang mereka dengan pembangunan kemampanan.

 

Jelas Dass, penumpuan terhadap langkah itu menawarkan syarikat-syarikat dengan langkah mengatasi cabaran hutang korporat dan dalam masa sama dapat meningkatkan kemampanan.

 

“Mereka (syarikat) perlu menggunakan krisis COVID-19 sebagai sebuah peluang untuk mengkaji semula model perniagaan untuk disesuaikan dalam konteks matlamat pembangunan lestari (SDG) yang lebih meluas.

 

“Untuk terus bertahan dalam persekitaran pasca COVID-19, syarikat-syarikat perlu melaksanakan strategi kemampanan jangka masa panjang yang membolehkan mereka untuk merebut peluang baharu, memperluas lingkungan dan membentuk masa depan pasca pandemik mereka,” kata Dass dalam nota kajian ‘Malaysia – Debt-for-sustainability swap to spur recovery’, hari ini. 

 

Salah satu cara melaksanakan langkah itu adalah menerusi dana penstrukturan syarikat yang ditaja kerajaan. 

 

Selalunya, dana itu akan dibeli daripada pinjaman tak berbayar kepada pihak bank, diperoleh daripada firma berdaya maju. 

 

Dana dan firma kemudiannya akan menukar pinjaman dengan potongan awal daripada nilai pembelian hutang dengan pinjaman baru, berdasarkan kepatuhan kemampanan dalam operasi atau rantaian bekalan syarikat.

 

“Bagaimanapun, dalam pilihan ini, adalah penting untuk kerajaan mempertimbangkan ruangan fiskal - had dan isu melibatkan kelestarian hutang,” tambah Dass. 

 

Alternatif lain adalah dengan pendekatan yang dirancang dengan baik, di mana akan memanfaatkan institusi kewangan pembangunan dua hala dan pelbagai hala, pelabur dan dana ekuiti swasta.

 

Kaedah ini bertujuan mengurangkan penggunaan sumber kewangan kerajaan yang terhad. 

 

Dalam kedua-dua senario dinyatakan itu, ia boleh dilaksanakan menerusi pinjaman sustainability-linked’ (SIL) yang mempunyai sasaran prestasi dapat diukur, peralihan pinjaman menerusi sokongan amalan perniagaan hijau atau instrumen hijau lain seperti bon hijau. 

 

“Dalam merangka pertukaran hutang dengan kemampanan, penting untuk pihak kerajaan menetapkan objektif yang akan membolehkan penyusunan semula hutang tepat pada masanya serta akses kepada pembiayaan lestari untuk syarikat yang berdaya maju," kata Dass.


Kerajaan juga harus mempermudah jalan keluar perniagaan yang tidak berdaya maju untuk mengelakkan peningkatan syarikat ‘zombie’ atau perniagaan yang beroperasi dengan pendapatan ‘cukup makan’, tambah Dass. - DagangNews.com