KUALA LUMPUR 9 Dis - Kenanga Research mengunjunjurkan keputusan kewangan Kelington Group Berhad bagi suku tahun akan datang positif selepas semua projeknya di Malaysia, Singapura dan China menunjukkan perkembangan yang baik.
Firma itu berkata, kumpulan itu juga yakin dengan operasi mereka di China akan terus berkembang dengan baik selepas gangguan rantaian bekalan dijangka pulih selepas perintah larangan pergerakan dikurangkan selain proses kerja menjadi semakin mudah berbanding sebelum ini.
Katanya, pada penghujung 3QFY22 kerja-kerja tertunggak mereka berada pada paras RM1.6 bilion merangkumi projek sistem gas ketulenan ultra tinggi (UHP), 22% projek umum dan 4% projek berkaitan kejuruteraan.
Kataya, kumpulan itu memiliki tempahan yang tinggi untuk segmen UHP yang akan membantu mereka mengembangkan margin keuntungan menjelang FY23.
"Kumpulan itu kekal agresif dalam membida projek baharu dengan tendernya kekal dinaikkan pada RM1.7 bilion.
"Kumpulan itu juga memantau dengan teliti rancangan pengembangan fabrik wafer semikonduktor di China dan Singapura," katanya dalam satu nota kajian, hari ii.
Firma itu berkata, kumpulan itu mengekalkan sifar kemalangan dalam kalangan pekerjanya walaupun terdapat peningkatan yang ketara dalam pekerjaan.
Katanya, kumpulan itu terus mempamerkan pengurangan dalam pelepasan CO2 (-46%), penggunaan elektrik (-23%) dan penggunaan air (-23%).
"Hasil daripada pengawasan yang berkesan ke atas amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kumpulan itu baru-baru ini telah dianugerahkan sebagai "syarikat paling bertambah baik dalam tempoh tiga tahun" oleh The Edge ESG Awards 2022," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.80 sesaham.
Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan pelbagai risiko termasuk pengiktirafan hasil yang lebih perlahan disebabkan penutupan COVID-19 yang berterusan di China selain pemotongan selanjutnya dalam belanjawan semikonduktor dan kelewatan dalam peningkatan cecair CO2. - DagangNews.com