Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Unjuran perolehan syarikat Aeon Co. (M) Berhad (AEON) bagi tahun kewangan 2021 (FY21) diturunkan sebanyak -19.4% kepada RM72.0 juta.
MIDF Research berkata, penurunan unjuran itu dibuat setelah mengambil kira keputusan suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) yang lebih rendah berbanding jangkaan.
"Kami menyemak turun unjuran pendapatan FY21 sebanyak -19.4% kepada RM72 juta memandangkan keputusan suku kedua tahun kewangan 2021 adalah lebih rendah berbanding jangkaan dan jangkaan sama bagi suku ketiga 2021.
"Bagaimanapun, kami mengekalkan unjuran bagi Fy22 kerana kami berpendapat bahawa momentum pemulihan akan meningkat dengan kuat tahun hadapan," jelas
MIDF Research.
AEON merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM32.9 juta bagi separuh pertama 2021 (1HFY21).
Prestasi berkenaan jauh meleset berbanding jangkaan MIDF disebabkan oleh margin keuntungan yang lebih rendah selain kadar cukai yang tinggi berbanding jangkaan awal.
Bagi prestasi kewangan suku kedua pula, suku berkenaan merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM10.9 juta berbanding kerugian bersih RM9.6 juta tahun lalu.
Dalam nota kajian sama, MIDF Research menjangkakan prospek AEON akan meningkat bermula suku keempat 2021 dan seterusnya seiring dengan program vaksinasi negara serta pembukaan semula perniagaan.
Perkara itu turut disokong dengan inisiatif AEON yang melancarkan platform digital baharunya sebagai sebahagian daripada model perniagaan runcit secara dalam dan luar talian.
Sementara itu, Kenanga Research dalam nota kajiannya memberitahu, suku ketiga tahun kewangan 2021 dilihat kekal mencabar bagi perniagaan AEON.
Bagaimanapun, pemulihan aktiviti perniagaan akan dilihat selepas tempoh berkenaan susulan kelonggaran 'lockdown' dan tahap vaksinasi untuk mencapai tahap akhir menjelang Oktober.
"Kami menyemak unjuran perolehan bagi FY2021 dan FY2022 masing-masing sebanyak -7% dan +12% kepada RM70 juta dan RM103 juta.
"Kami tingkatkan harga sasaran sesaham (TP) AEON kepada RM1.80 berbanding hanya RM1.20," jelas Kenanga Research. - DagangNews.com