Gambar sengaja tidak HD supaya tidak bermasalah di kemudian hari. - DagangNews.com
MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM
MOHON MAAF lambat sikit siar hari ini disebabkan kena beli barangan dapur di AEON Mall di Seksyen 13, Shah Alam. Tiba di situ 11 pagi. Dalam sejam, pusat beli-belah sudah mula sesak dengan pelanggan-pelanggan yang datang berbondong-bondong.
Terus-terang kalau tidak kerana barangan makanan, saya akan elak daripada mengunjungi tempat orang ramai. Apakan daya bulan Ramadan, memang kepala cepat sahaja menidakkan pergi ke pasar yang tidak berpenghawa dingin.
Selesai urusan di kaunter pembayaran, terus ke kereta. Sedang memasukkan barang, sebuah kereta sudah memberi isyarat mahu mengambil tempat letak kereta. Memang sudah ramai orang di situ. Parking pun berebut.
Dalam hati kita berdoa agar semua orang sentiasa ingat bahawa Selangor sekarang masih bergelut dengan pandemik COVID-19. Bersama Sarawak, kedua-duanya adalah Top 2 negeri di Malaysia yang tinggi angka kes positif.
Di Selangor, agaknya sudah jemu atau lali dengan kes COVID-19 yang tinggi-tinggi, penduduknya sudah tidak cuak malah mungkin sudah muak. Anak-anak kecil, bayi semua diusung selamba di tempat-tempat sesak. Stress sendirian kita bila melihat ibu bapa sedemikian.
Kita belum menang melawan COVID-19! Suntikan vaksin pun belum dapat, tiap hari membelek MySejahtera namun belum ada apa-apa. Janganlah dedahkan anak-anak di kawasan sesak seperti di pusat beli-belah.
Dan bagi sesiapa yang menolak divaksinasi – suka hati awak, tapi kami ini ramai mahukannya dan nak segera. Dalam hati hendak saja beritau, tidak perlu buat kempen memujuk golongan bengkeng untuk divaksinasi. Duit kempen itu patut diguna untuk beli lebih banyak vaksin supaya kita terutama di luar bandar dapat divaksinasi segera.
Impak COVID-19 terhadap ekonomi
Banyak analisis ekonomi bagi tempoh tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, telah menjadi bukti kepada kesengsaraan yang dihadapi oleh semua orang di negara ini dan juga di seluruh dunia.
Penyediaan rawatan kesihatan turut mengkehendaki kerajaan untuk menangguhkan sementara peruntukkan bagi projek awam yang lain. Tumpuan jitu kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan dapat dilihat pada statistik mereka yang pulih daripada jangkitan COVID-19 ini.
Nampaknya ada formula tertentu yang digunakan bagi merawat pesakit COVID-19 ketika vaksin belum wujud atau tiba ke Malaysia. Dan ini hanya boleh dicapai dengan kepakaran para pengamal perubatan di negara ini, baik dari hospital awam mahupun swasta.
Ada pakar ekonomi sudah mengira bahawa proses pemulihan sebenar ekonomi Malaysia hanya akan baru boleh bermula pada awal tahun 2022, dengan sasaran semua rakyat telah divaksinasi sehingga 31 Disember 2021.
Jadi apa yang wajar kita buat sekarang? Cuba bertahan sebaik-baik mungkin. Jika anda sudah bekerja tetap, kekal bekerja dengan tekun lagi bagus kerana dengan ketekunan itulah menjamin organisasi tempat kerja anda dapat mengekalkan mutu produktiviti.
Bagi yang tiada pekerjaan tetap, cuba cari sebaik-baik mungkin. Kalau mahu berniaga, banyak peluang disediakan oleh kerajaan. Kena rajin belek apa yang ditawarkan. Hendak berharap tawaran itu datang bergolek dibawa WhatsApp, itu kena semak betul-betul. Takut scammer.
Berapa sudah kerajaan belanjakan untuk ekonomi?
Fokus kerajaan sejak setahun lalu, tidak lain tidak bukan ialah mempertahankan nyawa ekonomi negara semasa dilanda pandemik COVID-19 ini. Itulah sebabnya sudah lebih RM600 bilion diperuntukkan bagi mencapai matlamat tersebut.
Bermula dengan peruntukkan bagi Belanjawan 2021 sebanyak RM322.5 bilion, kerajaan kemudiannya melancarkan empat pakej rangsangan iaitu Prihatin sebanyak RM260 bilion, Penjana RM35 bilion, Kita Prihatin RM10 bilion, Pemerkasa RM20 bilion.
Tak cukup? Ada pihak tertentu sudah melaungkan ayat sedemikian. Ratusan bilion tidak memadai. Kena trilion! Baiklah, untuk jaga emosi kita terima ayat sedemikian atas dasar keadilan.
Kerajaan ada atau tidak duit untuk dibelanja?
Cuma baru-baru ini, pengkritik kerajaan pantas menangkap tajuk berita yang menyebut Perdana Menteri berkata kerajaan sudah tiada ada duit untuk dibelanjakan. Benda sebegini agak sensitif jika tidak disiasat dengan teliti.
Peristiwa berlaku semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada majlis minum petang sempena sambutan Hari Vaisakhi pada 12 April lalu di Gurdwara Sahib, Petaling Jaya.
Berikut adalah transkrip ucapannya :
“Saudara tahu kita sudah belanja banyak wang tahun ini, tahun lalu. Apa sebab? It is all about COVID and economy. RM340 bilion untuk untuk pakej-pakej rangsangan, RM322.5 bilion untuk Belanjawan negara.
“Saya pergi sekolah tapi saya tak pandai nak kira berapa banyak. How much is that?. Saya fikir banyak orang Sikh faham. Akauntan pun ada sini. It is more than RM600 billion for this year alone. There is big sum of money. What i am trying to say here is, we don't have much money left.
“Well, Mr Saravanan, Minister is also here. We have some but we don't have as much as before because first thing most important is to make sure that our life and livelihood should be able to manage ourself better but amount of money that we have allocated last year and this year.
“And that cut across all communities, tidak ada pilihan Melayu, Cina, India, Sikh, Sabah an, Kadazan Dusun, Murut, Iban. Semua without exception because this is the country for all. Jadi, kita terpaksa belanja wang begitu banyak”.
Setelah meneliti transkrip memang ada PM sebut `we don’t have much money left’. Tetapi jangan ambil ayat sekerat-kerat, kena lihat konteks keseluruhan. Rujuk transkrip, PM juga sebut `kita terpaksa belanja wang begitu banyak yang bermaksud untuk menguruskan negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat.
Faktanya ialah PM tidak kata semua RM600 bilion itu perbelanjaan fiskal, dan yang paling penting, PM bermaksud kerajaan sudah berbelanja banyak wang untuk rakyat.
Tiada pun beliau sebut bahawa kerajaan akan berhenti berbelanja wang untuk rakyat.
Main politik COVID-19
Cemuhan dan kritikan ke atas PM berpunca daripada ayat tersebut, memang datang daripada sesama ahli politik dari perikatan sama tetapi berlainan padang.
Samalah seperti orang yang mengerumuni pusat beli-belah, begitulah boleh diandaikan dengan orang politik. Kedua-duanya anggap COVID-19 ini akan berlalu cepat. Realitinya adalah tidak.
Semalam Sabtu 17 April, angka kes positif baharu ialah 2,331 kes. Ini setelah hampir sebulan negara berada di bawah 2,000 kes sehari. Mana yang kita menang melawan COVID-19 ini?
Atas sebab ini, keghairahan orang politik bermain politik pada waktu ini hanya disorak riang oleh orang politik semata-mata.
Rakyat jelata yang risaukan COVID-19 ini tidak bersorak, apalagi bertepuk riang. Meluat lagi ada. Malah dalam hati masing-masing seakan berkata, jika usaha memerangi COVID-19 ini terencat disebabkan permainan politik, siaplah masa mengundi nanti.
Kita mohon agar kerajaan hari ini diberi kepercayaan sepenuhnya untuk bekerja bagi menangani wabak COVID-19 ini. Berilah kerjasama, jika tidak mahu menyokong sekali pun.
Tidak terfikirkah sesiapa yang berjaya ambil alih nanti akan mewarisi situasi berat pandemik COVID-19. Bukankah lebih berakal mengambil kuasa semasa negara sedang memulih, bukan masa belum disuntik vaksin sepenuhnya sekarang.
Sejarah selalu mengajar kita bahawa orang yang tidak sabar, lazimnya terkeluar terus duduk luar pagar. Ada juga yang duduk dalam bilik berpagar. – DagangNews.com
MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, yang merupakan Pengarang Urusan DagangNews.com, dan bekas Ketua Kandungan TVS, bekas Pengarang Berita Ekonomi & Pengarang Eksekutif Utusan Malaysia 1939 yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu Kashmir oleh Led Zeppelin berulang-ulang kali.
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.