Kerajaan ajak rakyat ‘lontarkan’ cadangan RMK-12 | DagangNews Skip to main content

Kerajaan ajak rakyat ‘lontarkan’ cadangan RMK-12

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Kerajaan mengajak pelbagai pihak termasuk sektor swasta, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat untuk berkongsi cadangan mengenai Rancangan Malaysia Ke-12, 2021-2025 (RMK-12).

 

Cadangan itu boleh dikemukakan mulai 18 November hingga 2 Disember 2020 melalui laman web khas di alamat http://rmke12.epu.gov.my/engagement dan menggunakan tanda pagar #RMKe12 di media sosial Facebook, Twitter dan Instagram. 

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Unit Perancang Ekonomi (UPE) di JPM sedang dalam proses akhir penyediaan RMK-12 yang akan dibentangkan di Parlimen pada awal tahun 2021. 

 

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

 

“Laman web khas RMK-12 telah diwujudkan bagi membolehkan semua lapisan masyarakat mengemukakan cadangan dan pendapat mengenai hala tuju pembangunan negara. 

 

“Cadangan yang dikemukakan akan dipertimbang dan diperincikan sebagai input dalam penyediaan RMK-12,” ujar Mustapa dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Sebelum ini, sesi libat urus pertama telah dijalankan pada 5 November 2019 sehingga 31 Disember 2019 di mana UPE telah menerima 188 maklum balas dalam talian yang terdiri daripada 42 dari organisasi kerajaan, organisasi swasta (30), NGO (50), pelajar (14) dan lain-lain organisasi (52). 

 

Maklum balas yang diterima merangkumi empat dimensi iaitu Ekonomi (63), Sosial (44), Alam Sekitar (51) dan Alat Dasar & Tadbir Urus (30). 

 

Kali ini, pandangan boleh diberi tumpuan dalam beberapa bidang iaitu langkah memulihkan semula ekonomi, menangani isu kemiskinan, pembangunan modal insan mahir, penerima gunaan teknologi dan pendigitan, penyertaan masyarakat dalam ekonomi digital, kelestarian alam sekitar, pembangunan Sabah dan Sarawak serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam. 

 

“Menyedari bahawa negara sedang berada dalam situasi yang sukar dan mencabar akibat pandemik COVID-19, kerajaan amat prihatin dan berusaha memastikan RMK-12 yang sedang dalam peringkat akhir penyediaan, digubal untuk membolehkan ekonomi negara kembali pulih serta berdaya saing. 

 

“Memandangkan kemakmuran rakyat adalah keutamaan kerajaan, langkah yang sewajarnya akan diambil untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara di samping memastikan kesejahteraan dan kekayaan negara dapat dikongsi bersama oleh semua lapisan masyarakat,” tambah Mustapa.

 

Asas penyediaan RMK-12 adalah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang bertujuan mewujudkan pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta membina negara bersatu, makmur dan bermaruah. - DagangNews.com