PUTRAJAYA 21 Ogos - Kerajaan akan mengumumkan sesuatu yang menceriakan bagi mengubat duka lara para penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam yang dijadualkan pada 30 Ogos nanti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sepertimana dimaklumi semua, kata Perdana Menteri, Malaysia kerapkali dilanda musibah bencana alam seperti banjir besar yang tidak dijangka. Begitu juga dengan ancaman keselamatan termasuk di perbatasan negara.
Menurutnya, di saat-saat negara sedang mengalami kesusahan pasukan-pasukan keselamatan iseperti sPolis DirajaDiraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan pelbagai agensi kerajaan lain bertugas tanpa lengah dan penuh dedikasi.
Sehubungan itu ujar beliau, Kerajaan Keluarga Malaysia sentiasa menghargai pengorbanan para penjawat awam di bawah pimpinan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
"Sesebuah Kerajaan hanya akan menjadi kuat dan berkesan jika ia mendapat dokongan daripada semua pihak. Alhamdulillah, Kerajaan Keluarga Malaysia tidak pernah bersengketa atau memandang ringan pengorbanan para penjawat awam.
"Begitu juga dengan para aktivis masyarakat yang cekal berkhidmat kepada negara khususnya melalui pertubuhan pertubuhan bukan kerajaan, Kerajaan Keluarga Malaysia sentiasa mengingati sumbangan mereka," kata beliau.
Ismail Sabri berkata demikian semasa merasmikan Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan bersempena genap setahun beliau menjawat jawatan tertinggi negara ini.
Perdana Menteri berkata, penganjuran simposium ini tepat pada masanya kerana hari ini genap satu tahun pentadbiran Keluarga Malaysia yang bermula pada 21 Ogos 2021.
"Saya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dalam suasana negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang sedang mengganas hebat sehingga ia mencapai rekod sebanyak 24,599 kes harian dan mengakibatkan 393 kematian pada 26 Ogos 2021.
"Hasil kerja keras semua pihak dan kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan membolehkan membolehkan Malaysia menjadi antara negara yang mencatatkan kadar vaksinasi terpantas, akhirnya kita memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pada 11 April 2022.
"Saya mewakili Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada petugas-petugas kesihatan yang bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa-mangsa COVID-19.
"Sesungguhnya banyak sekali cerita kesedihan petugas-petugas kesihatan kita yang berkorban jiwa raga dan nyawa dalam menangani COVID-19.
"Jasa dan pengorbanan mereka semua sebagai Wira idak Didendang akan terus terpahat dalam lipatan sejarah," kata Perdana Menteri. - DagangNews.com