Kerajaan benarkan ambil pekerja asing yang permit mereka masih sah | DagangNews Skip to main content

Kerajaan benarkan ambil pekerja asing yang permit mereka masih sah


PUTRAJAYA 23 Ogos – Data yang dikumpul oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) menunjukkan bahawa ramai pekerja tempatan dan pekerja asing yang masih mempunyai permit kerja yang sah untuk tempoh panjang telah diberhentikan berikutan penularan pandemik COVID-19.

Justeru, KSM melalui jabatan serta agensi dibawahnya akan cuba untuk mengurangkan kes-kes kehilangan pekerjaan di kalangan pekerja tempatan dan pekerja asing.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pihaknya akan membantu para majikan khususnya yang ingin menggajikan pekerja tempatan termasuk golongan pencari kerja dengan cara mendaftar secara dalam talian bagi mendapatkan pekerjaan melalui inisiatif penempatan semula atau redeployment yang dikendalikan oleh pihak KSM.
 

aaa
                                                                                 M Saravanan


Katanya, inisiatif ini akan dilaksanakan melalui agensi-agensi seperti Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan juga Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).

"KSM turut menggesa mana-mana majikan supaya memberikan keutamaan kepada pekerja tempatan untuk mengisi kekosongan yang wujud dalam premis mereka.

"Sekiranya tiada sambutan daripada pekerja tempatan, maka majikan diberikan kelonggaran untuk menggaji pekerja asing yang telah diberhentikan oleh majikan lama,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Saravanan berkata, bagi majikan yang memerlukan pekerja asing dan setelah tiada pengisian kekosongan oleh pekerja tempatan di premis mereka maka boleh diisi kekosongan tersebut oleh pekerja asing sah yang telah kehilangan pekerjaan mereka.

Ini kerana ujar beliau, kerajaan telah memberikan kebenaran untuk penempatan semula pekerja dengan cara penggantian majikan bagi pekerja asing dalam sektor yang sama dan kini juga boleh untuk sektor yang lain (cross sector) tetapi ianya bergantung kepada keadaan (case basis).

Borang permohonan untuk penggantian majikan bagi pekerja asing boleh dimuat turun dari laman sesawang Jabatan iaitu jtksm.mohr.gov.my dan borang tersebut perlu dihantar sama ada secara serahan tangan ke Ibu Pejabat di Putrajaya ATAU serahan secara pos ATAU melalui emel di alamat [email protected]. - DagangNews.com