Kerajaan benarkan PKS kembali beroperasi - MEDAC | DagangNews Skip to main content

Kerajaan benarkan PKS kembali beroperasi - MEDAC

perusahaan kecil dan sederhana (PKS)

KUALA LUMPUR 15 Julai -  Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) memperoleh persetujuan secara prinsip bagi membenarkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peniaga kecil di seluruh negara untuk kembali beroperasi.

 

Menteri MEDAC, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, persetujuan itu adalah khusus bagi aktiviti perniagaan yang tidak menyumbang kepada kes COVID-19 dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

 

Menurut beliau lagi, keputusan yang dibuat itu turut mengambil kira pandangan dan kajian daripada beberapa agensi dan kementerian termasuk MEDAC.

 

"MEDAC telah membentangkan impak negatif terpaksa ditanggung peniaga kecil dan PKS sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlarutan, pada mesyuarat bersama Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

 

"Perdana Menteri amat bimbang akan situasi ini dan bersetuju dengan pandangan MEDAC supaya aktiviti perniagaan tidak menyumbang kepada kes COVID-19 dibenarkan kembali beroperasi dengan SOP ketat.

 

"Insya-Allah, keputusan ini dapat menyelamatkan industri PKS yang kini berada dalam keadaan tenat. Ramai risau mereka akan gulung tikar jika PKP masih diteruskan selepas Oktober depan," katanya seperti dilapor Berita Harian. 

 

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

 

Tambah beliau, pihaknya bagaimanapun masih menunggu  Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan bagi memperhalusi keputusan itu, sekali gus membuka kembali operasi aktiviti perniagaan.

 

Baca: Lebih 90% usahawan gulung tikar jika PKP berterusan

 

Bulan lalu, MEDAC melalui kaji selidiknya mendapati  lebih 90% usahawan mikro, kecil, sederhana dan informal berdepan risiko penutupan perniagaan sekiranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan secara berterusan. 

 

Sebanyak 54% terutamanya perusahaan mikro menyatakan hanya mampu bertahan di antara tiga hingga enam bulan sahaja. 

 

Keadaan tersebut dikhuatiri akan menyumbang kehilangan pekerjaan kepada lebih tiga juta penduduk di Malaysia. - DagangNews.com