Kerajaan campuran aman damai, tapi Zahid kusutkan, akhirnya berpecah – Ismail Muttalib | DagangNews Skip to main content

Kerajaan campuran aman damai, tapi Zahid kusutkan, akhirnya berpecah – Ismail Muttalib

Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib bertemu dengan penduduk Felda Bukit Tajau pada 15 November 2022.

CHENOR 16 Nov – Sebelum Parlimen dibubarkan negara ditadbir oleh kerajaan campuran dari tiga parti teras utama iaitu Umno, PAS dan Bersatu dalam suasana aman damai.

 

Namun, hanya kerana seorang Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang berdepan pengadilan di mahkamah maka kesatuan harmoni tiga parti teras Melayu itu ‘digoncang’.

 

Penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib yang kini berhijrah dari Barisan Nasional (BN) ke Perikatan Nasional (PN) menyifatkan hanya kerana Zahid ‘mencipta kekusutan’ dan juga meletakkan syarat kepada PAS ia telah mengakibatkan kerajaan campuran itu telah berpecah.

 

“Sebelum Parlimen dibubarkan, kita ada kerajaan campuran tiga parti utama yakni Umno, PAS dan Bersatu aman damai.

 

“Tapi ada Presiden Umno ini, Zahid memang sekarang sedang berdepan dengan masalah… biarlah mahkamah uruskan,” katanya sambil terus mengharapkan gabungan parti Melayu terus berkembang selepas PRU15.

 

Dalam pada itu, Ismail turut berkongsi sebab penghijrahannya namun menyatakan bahawa beliau tidak merajuk.

 

Sebaliknya menjelaskan analogi perpindahannya ibarat pemain profesional bola sepak yang bertukar pasukan setelah merasakan pasukan lamanya berdepan kepincangan.

 

“Saya tak merajuk walaupun pernah digelar enam jahanam, 12 jahanam sehingga mengakibatkan 10 orang ahli Parlimen yang menang malah menjawat jawatan menteri dan timbalan menteri tidak dipilih pada PRU15 kali ini.

 

“Tapi saya tak rasa diasingkan dan mungkin saya boleh dilantik sebagai senator tapi saya melihat parti (Umno) terlalu teruk sekarang, bergaduh sesama sendiri.

 

“Malah orang akan anggap BN ialah parti untuk mencari kedudukan, wang dan kekayaan. Akhirnya kita bertumbuk sesama sendiri dan gol tidak disumbat. Sebab itu saya berhijrah dan syukur saya berada dalam suasana yang lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya di Felda Sungai Nerek, malam tadi, menurut laporan Suara.tv.

 

Justeru katanya, memandangkan sikap demikian yang ada pada kepimpinan sehingga membuatkan hilang rasa hormat maka beliau memilih untuk angkat kaki meninggalkan parti lamanya.

 

“Kami 10 orang bekas menteri dan timbalan menteri yang tidak dipilih sebagai calon BN sedang menerima padah.

 

“Walaupun kami calon berwibawa tapi tidak dipilih kerana adanya sedikit teguran kepada Presiden parti, kepimpinan atasan dan mereka tidak boleh menerimanya, maka inilah padahnya.

 

“Sedangkan kita tak tahu apa jadi kepada parti kita selepas pilihan raya ini,” ujarnya.

 

Pun begitu, Ismail menyatakan meskipun telah bersama PN namun, persahabatan dan kasih sayang beliau terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedikit pun tidak luntur malah menyatakan hubungan mereka masih sangat baik. - DagangNews.com